Novel Interlok

1.0 PENGENALAN

Interlok ialah sebuah karya novel yang dikarang oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Beliau ialah pengarang dan penterjemah yang banyak menghasilkan karya dalam bidang kesusasteraan. Beliau dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan Kedah pada tahun 1920. Beliau pernah bekerja sebagai kerani, pedagang, dan wartawan. Beliau menulis cerpen, sajak, novel, drama, biografi, esei-esei tentang politik, bahasa, agama, filem dan tokoh-tokoh dunia. Menurut Mawar Safei (2010), Interlok in merupakan salah satu novel beliau yang bertemakan tentang integrasi kaum terbesar, iaitu Melayu, Cina, dan India yang diwakili oleh tiga keluarga yang berusaha menjalani hidup bersama sebagai rakyat Negara yang merdeka dan berdaulat.Novel ini mengisahkan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20, dan sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka.

Menurut Jimadie Shah Othman (2010),novel ini dihasilkan oleh Abdullah untuk menyertai Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka (1967) hasil inisiatif Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan makan malam anjuran Persatuan Penulis Nasional di mana novel ini memenangi hadiah sagu hati. Akan tetapi, novel ini dilanda kontroversi, lebih-lebih lagi apabila dipilih sebagai bahan bacaan wajib Komponen Sastera Bahasa Melayu Tingkatan Lima pada tahun 2011, kerana sesetengah golongan India tersinggung oleh unsur sistem kasta dalam masyarakat India.Interlok diterbitkan Angkatan Baru untuk pertama kali pada tahun 1971. Kemudiannya ia diterbitkan dalam edisi pelajar pada tahun 2006 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, edisi khas Sasterawan Negara (2008, DBP) dan edisi murid novel Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (2010, DBP).

2.0 MESEJ YANG TERKANDUNG DI DALAM NOVEL INTERLOK (PEMIKIRAN)

Menurut Mohd RashidMdIdrisetal. pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Menurut beliau lagi, setiap pengarang mempunyai cara tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya. Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa mesej ataupun pemikiran yang cuba disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dalam novel ini. antaranya ialah:

2.1 Memperlihatkan Kehidupan masyarakat dahulu

Perkara ini dapat kita lihat dalam novel ini yang menceritakan tentang cara hidup masyarakat dahulu. Contohnya:

a) “Suatu rasa bersalah menyelinap ke hati Mak Limah, dia meninggalkan suaminya dalam gelap. Dia buru-buru ke dapur mencari lampu minyak, tergesa-gesa dibawanya ke ruang rumah ibu. Lampu kecil itu membuat satu lingkaran cerah di sekitarnya, di dalam lingkaran itu kelihatan Pak Musa yang sedang berjuang dengan batuknya.”

(halaman 7)

b) “Harta yang ada pada kita ini bukan harta kita. Harta orang lain. Nama saja nama kita, tapi yang punya orang lain. Kita ini tak lebih daripada orang menumpang sahaja.”

(halaman 12)

2.2 Memperlihatkan Kepercayaan Kepada Dukun

Dalam novel ini. pengarang cuba memperlihatkan budaya masyarakat dahulu yang lebih mempercayai dukun berbanding menggunakan perkhidmatan perubatan moden. Sebagai contoh:

a) “Mak Limah tidak menjawab. Tangan kanannya semakin kuat mengurut dada suaminya yang sudah dapat dihitung satu-satu tulang rangkanya. “aku rasa batukku ada darah,” sambung Pak Musa. “Tak usah bercakap banyak. Nanti aku suruh Seman panggil dukun,” akhirnya dia berkata.”

(halaman 8)

b) “Perutnya menggelembur, berulas-ulas. Tangannya besar dan tegap. “Aku serasi kalu waktu aku sedang makan orang panggil.” Hati Seman berasa lega. Rasanya nyawa bapanya sudah tertolong. Tentu dukun ini tahu bapanya itu tidak akan mati.

(halaman 19)

2.3 Memperlihatkan Permusuhan Antara Masyarakat Cina Hokkien Dengan Hakka

Permusuhan antara masyarakat Cina Hokkien dan Hakka amat ketara dan sering ditonjolkan oleh pengarang dalam novel ini. contohnya :

a) “Dua orang penumpang lain orang Hakka. Mereka itu lebih besar dan lebih tegap. Mereka tidak menunjukkan permusuhan apa-apa seperti di negeri mereka dulu. Mereka semua senasib. Mereka bermusuh dalam hati, tetapi di luar mereka tunjuk baik, muka manis.”

(halaman 155)

2.4 Menunjukkan Pandangan Masyarakat Cina Terhadap Masyarakat Melayu

Dalam novel ini, penulis cuba mempamerkan pandangan masyarakat Cina terhadap masyarakat Melayu yang dianggap sebagai bangsa yang pemalas. Sebagai contoh:

a) “Lu dengar apa gua cakap?” “Dengar, papa, tapi...” ia mahu berkata sesuatu. “Tapi apa? Lu mahu ikut macam HuanNa. Malas, tak tahu cari duit. Gua tak mahu lu jadi macam mereka.”

(halaman 199)

b) “Mengapa dia terlalu sayang pada PohKheng yang rupanya seperti HuanNa itu? Isterinya itu anak negeri ini. tetapi semangat sebagai seorang Cina Masih ada padanya, dia rajin dan bekerja sepenuh hati.

(halaman 210)

2.5 Memperlihatkan Adat Perkahwinan Masyarakat Cina

Dalam novel ini, penulis cuba memperlihatkan tentang adat-adat perkahwinan masyarakat Melayu dan Cina. Namun begitu, adat yang diketengahkan ialah adat perkahwinan masyarakat cina di mana ia diceritakan dengan lebih terperinci. Contohnya:

a) “ Kain tudung yang menutupi muka Tua Tao dibuka oleh seorang perempuan yang tertua, dan seorang saksi utama menjadi tukang nikah telah membacakan sijil perkahwinan. Cing Huat dan Tua Taobertukar-tukar cincin dibantu oleh penolong masing-,asing. Sesudah itu, ijazah perkahwinan pun ditandatangani, mula-mula oleh Cing Huat, diikuti Tua Toa, bapa Cing Huat, bapa tiri Tua Tao, saksi utama.”

(halaman 185)

b) “Pengatur upacara menyuruh Cing Huat dan Tua Tao berdiri berhadap-hadapan. Mereka membongkok kepada satu sama lain, tiga kali seorang. Setelah itu mereka membongkok pula kepada saksi utama sebanyak tiga kali dan saksi utama itu pun berundur daripada meja upacara itu. Pengantin itu kemudian membongkok tiga kali kepada anggota keluarga masing-masing dan mereka pun berundur ...”

(halaman 185-186)

2.6 Memperlihatkan Persamaan Masyarakat Melayu Dan India

Melalui bab 3 dalam novel ini, penulis telah menceritakan tentang kehidupan dan budaya hidup masyarakat India pada masa dahulu. Di samping itu, penulis juga menyelitkan beberapa unsur budaya masyarakat India yang hampir sama dengan masyarakat Melayu. contohnya:

a) “Orang kampungnya juga bercerita serupa itu. Anak negeri yang akan didatanginya itu baik-baik belaka. Mereka makan nasi dan kari seperti kita juga, kata orang kampungnya itu. Mereka pakai kain macam kita, pakai kopiah seperti orang Muslim, mereka beragama Islam.

(halaman 218)

2.7 Memperlihatkan Kepercayaan Masyarakat Cina dan India

Dalam novel ini, penulis telah memperlihatkan beberapa kepercayaan masyarakat di tanah Melayu. namun begitu, melalui pembacaan saya, kepercayaan masyarakat India paling ketara ditonjolkan. Antaranya ialah:

a) “Harimau itu harimau baik,” sampuk pula Cing Huat, “HuanNa bilang itu harimau jadian, dulu mula-mula kami sampai di sini dia belum kenal kami, sebab itu dia makan satu orang.” “Kalian tak pernah sembahyang barangkali!” ujar orang yang tinggi kurus ...”

(halaman 161)

b) “Adakah lembu tuanya mati? Lembu tua itu selalu dianggap sebagai barang yang bertuah. Apatah pula lembu ialah binatang suci bagi orang Hindu; dan kalau binatang ini mati, maka ia seperti ibunya sendiri yang mati.”

(halaman 225)

c) “Maniam kemudian memimpin Malini mengelilingi api perkahwinan dan melakukan homa. Sebagai memohon restu, mereka bersama-sama melangkah tujuh langkah di hadapan api upacara itu. Menurut kepercayaan, tiap-tiap langkah itu melambangkan makanan, kekuatan, kekayaan, kebahagiaan, keturunan, binatang ternak dan kesetiaan.”

(halaman 233)

3.0 BUDAYA DAN PANDANGAN HIDUP

3.1 Konsep Budaya

Manusia merupakan makhluk unik kerana ia mempunyai budaya. Budaya adalah elemen yang membezakan manusia daripada hidupan lain. Istilah budaya banyak digunakan dalam bidang antropologi. Dalam disiplin ini, tiada perbezaan maksud di antara perkataan “budaya” dengan “kebudayaan”. Budaya adalah daripada perkataan Sanskrit, iaitu “buddayah” yang merupakankata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Secara amnya, ia membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal manusia. Dalam pengertian yang luas pula, budaya bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam bahasa Inggeris, budaya disebut sebagai culture yang berasal daripada perkataan Latin, iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan, (Mohd RashidMdIdriset. al , 2014).

Budaya mempunyai hubungan erat dengan masyarakat. Segala sesuatu yang ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki masyarakat itu sendiri. Fahaman ini terkenal dalam kalangan ahli antropologi sebagai fahaman determinisme atau penentuan budaya. Di samping itu, budaya juga adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau.Sementara itu, budaya turut merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Oleh itu, budaya sebagai satu konsep menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam, kebolehan serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Daripada kesemua pengertian ini, budaya bolehlah disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat.

3.1.1 Nilai Budaya dalam Novel Interlok

Novel Interlok karya Abdullah Hussain ini sememangnya unik kerana menyelitkan nilai-nilai budaya daripada pelbagai kaum yang ada di Malaysia, khususnya kaum Melayu,Cina dan India. Jalan cerita novel ini disusun indah dengan menceritakan sejarah kedatangan kaum Cina dan India ke Tanah Melayu pada suatu masa dahulu. Kedatangan kedua-dua kaum ini ke Tanah Melayu telah membawa budaya yang tersendiri dan seterusnya menjadikan masyarakat di Tanah Melayu kaya dengan kepelbagaian budaya dan adat resam. Nilai budaya yang paling ketara ditonjolkan dalam novel Interlok ini ialah adat perkahwinan.

3.1.1.1 Adat Perkahwinan

3.1.1.1.1 Adat Perkahwinan Kaum Cina

a) “Hari perkahwinan pun ditetapkan. KimLock mahu perkahwinan itu mengikut adat istiadat di negeri China, kalaupun tidak seluruhnya, sedikit-sedikit pun dikehendaki juga. Dia mahu pengganti perempuan dijemput dengan tandu pengantin hua ciao yang ditutup tabir sehingga tidak seorang pun dapat melihat waktu pengantin dalam perjalanan ke tempat perkahwinan. Hua Ciao itu akan didahului sepasukan pancaragam yang akan dipesan khas dari bandar.”

(halaman 184)

Dalam novel Interlok, diceritakan kisah keluarga Cina iaitu KimLock yang berhijrah ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki. KimLock membawa anak lelakinya iaitu Ah Huat bersamanya. Kemudiannya Ah Huat dikahwinkan kepada anak perempuan Kim Sui yang bernama Tua Tao di Simpang Empat. Majlis perkahwinan mereka diadakan dengan meriah dan mengikut adat istiadat kaum Cina.

3.1.1.1.2 Adat Perkahwinan Kaum India

a) “Upacara berpegangan tangan di atas api suci melambangkan penerimaan Malini untuk menjadi isteri Maniam yang sebenarnya. Upacara ini diikuti oleh upacara yang paling penting, iaitu mengikat tali di sekeliling leher pengantin perempuan oleh pengantin lelaki. Pada waktu upacara itu dilakukan bunyi muzik sengaja dikuatkan untuk menelan bunyi yang lain, kerana pengikatan tali ini melambangkan ikatan yang tidak boleh diputuskan. Beras kunyit pun ditabur bagi melambangkan kesuburan. Maniam kemudian memimpin Malini mengelilingi api perkahwinan dan melakukan homa. Sebagai memohon restu, mereka bersama-sama melangkah tujuh langkah di hadapan api upacara itu.

(halaman 233)

Selain adat perkahwinan kaum Cina, novel Interlok juga mempamerkan adat istiadat orang India. Dalam novel Interlok, diceritakan kepayahan Maniam meneruskan kehidupan dan mencari rezeki di tanah Melayu. Maniam terpaksa meninggalkan isterinya Ambika di India demi mengembara ke Tanah Melayu. Setelah mendapat perkhabaran bahawa isterinya Ambika melarikan diri bersama Pillay, Maniam telah berkahwin semula dengan seorang perempuan bernama Malini yang merupakan anak kepada Perumal, seorang Tandil bahagian kebun kelapa tempat dia bekerja di Cangkat Lima. Upacara perkahwinan Maniam diadakan dengan penuh meriah mengikut adat perkahwinan kaum India.

3.1.1.1.3 Makanan dan Minuman

Dalam novel Interlok, juga memperlihatkan keunikan ketiga-tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India dari sudut makanan dan minuman yang diamalkan. Kaum Melayu digambarkan sudah sebati mengambil kopi sebagai air minuman terutamanya sarapan pagi. Manakala, kaum Cina pula seringkali mengambil teh sebagai minuman wajib mereka dan kaum India pula mengambil susu sebagai minuman kebiasaan mereka. Tabiat ini jelas membuktikan budaya kaum masing-masing berbeza. Hal ini bersangkut paut dengan kebiasaan mereka sekaligus boleh dianggap sebagai satu budaya dalam kaum tersebut. Contoh yang boleh dilihat ialah menerusi petikan di bawah,

a) “Minum kopi dulu, Seman, “ kata Mak Limah setelah Seman siap berpakaian. Dia akan pergi ke rumah Lebai Man untuk bertanya tentang keadaan bapanya. Seman bagai tidak bernafsu untuk minum. Tetapi kerana didesak oleh ibunya, dia berjongkok dan dengan sekali teguk saja air kopinya diminum. Lalu dia bangun dan menuju ke pintu. “ (halaman 73)

b) “ Setelah orang yang membeli barang itu keluar, Cing Huat kembali ke meja makannya. Tetapi nafsu makannya sudah tidak ada lagi. Dia menghabiskan nasi di dalam mangkuknya, lalu meminum teh secawan besar. “

(halaman 201)

c) “ Angin bertiup lunak. Mereka sama-sama diam masuk ke dalam rumah. Malini terus ke dapur, untuk menyediakan makan malam. Maniam berbaring di atas tempat tidur. Malini membawa segelas air susu panas untuknya. Dia minum. Hatinya terlalu resah apabila mendengar bunyi tapak kaki bapa mentuanya.

(halaman 238)

Selain minuman terdapat juga contoh makanan yang menjadi kebiasaan kaum Melayu, India dan Cina. Misalnya,

a) “ Masa itu orang baru turun ke sawah. Di merata-rata petak orang bekerja. Ada yang berdua bertiga satu petak, ada pula yang seorang saja. Halimah membawa sekeranjang sarapan untuk suaminya. Di dalam keranjang itu ada pulut, ada kelapa parut, ada gula dan kopi satu teko. Kopi itu masih panas, tekonya dibalut dengan kain buruk.

(halaman 33)

b) “ Bapa mentuanya juga sudah siap duduk. Malini mencedok nasi dan melonggokkannya di atas daun itu, kemudian mencedok rasam dan dibubuh di atas nasi, diambilnya sambar diletak di tepi daun itu dengan beberapa keping ‘popodum’ dan diletakkan di tepi sayur. “

(halaman 239)

c) “ Dia selalu menyuruh anak-anak dan isterinya menggunakan barang-barang dari negeri China. Lobak masin yang baik, katanya, datang dari negeri China; sedapnya, pei tan telur yang hitam atau telur seratus tahun itu, tidak ada yang dapat menandingi sedapnya. “

(halaman 193)

3.1.1.1.4 KegiatanYang Dilakukan untuk Mencari Rezeki

Dalam novel Interlok, penulisnya juga memperlihatkan kegiatan atau aktiviti yang lazim dilakukan oleh kaum Melayu, Cina dan India dalam mencari pendapatan untuk menyara diri dan keluarga. Kaum Melayu sinonim dengan bercucuk tanam di sawah atau bendang, kaum Cina pula begitu giat sekali melakukan perniagaan dengan membuka kedai-kedai runcit manakala kaum India pula digambarkan bekerja di kebun getah atau kebun kelapa. Hal ini jelas diperlihatkan menerusi petikan-petikan di bawah.

a) “Masa itu orang baru turun ke sawah. Di merata-rata petak orang bekerja. Ada yang berdua bertiga satu petak, ada pula yang seorang saja. Halimah membawa sekeranjang sarapan untuk suaminya. Di dalam keranjang itu ada pulut, ada kelapa parut, ada gula dan kopi satu teko. Kopi itu masih panas, tekonya dibalut dengan kain buruk. Orang-orang yang sedang bekerja di petak-petak yang berhampiran dengan permatang yang dilaluinya menegurnya dengan gurau senda.”

(halaman 33)

b) “Cing Huat sudah pandai berniaga. Sudah pandai melihat mata dacing dan sudah cekap tawar-menawar. Dia sudah hamper sama pandai dan sama cekap dengan bapanya. Berkat rajin dan bersungguh-sungguh, maka dalam beberapa bulan saja mereka sudah punyai sebuah kedai barang runcit yang lengkap.”

(halaman 171)

c) “Maniam dan Musa berjalan menuju ke kebun getah Cangkat Janggus. Kepalanya dibalut dengan kain, sehingga tidak kelihatan lukanya. Lebam-lebam di tangannya tidak berapa kelihatan. Dengan mudah pula dia diterima sebagai kuli di kebun itu; tetapi Musa tidak diterima, kerana tidak ada orang Melayu bekerja di tempat itu. Musa amat kecewa.”

(halaman 277)

4. 0 KONSEP PANDANGAN HIDUP

Secara umumnya, ia merupakan satu konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu system nilai yang tertentu. Pandangan hidup adalah suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Setiap masyarakat selalu memiliki pandangan hidup tersebut. Pandangan hidup tentang manusia dapat diperincikan kepada tiga bahagian iaitu tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat, (Mohd RashidiMdIdris, et. al , 2014).

Dalam novel Interlok, banyak terdapat pandangan hidup yang menjadi teras kepada sesuatu kaum untuk menjalani kehidupan di muka bumi ini. Antaranya ialah :

4.1 Percaya Kepada Dukun

Masyarakat Melayu dalam novel Interlok mempercayai dukun dapat membantu merawat penyakit. Di kampung Nyiur Condong, terdapat seorang dukun yang dipercayai sangat handal dalam mengubati orang sakit iaitu Pak Utih. Seman telah memanggil Pak Utih atas saranan ibunya untuk merawat bapanya yang sedang sakit tenat iaitu Pak Musa. Hal ini jelas dalam petikan di bawah;

a) “ Banyak juga orang minta ubat Pak Utih ini, kebanyakannya baik. Waktu kecemasan serupa ini kebanyakan orang di kampung itu berpaling padanya meminta pertolongan; dan dia pula tidak pernah menolak. Memang dialah dukun kampung itu yang terkenal. ’’

(halaman 22)

4.2 Tidak Mementingkan Pelajaran

Sesetengah masyarakat Melayu digambarkan tidak mementingkan pelajaran dalam novel ini misalnya keluarga Pak Musa. Pak Musa dan isterinya Mak Limah tidak mahu menghantar anaknya, Seman ke sekolah kerana menganggap mengaji Quran sahaja sudah mencukupi. Hal ini ditunjukkan dalam petikan di bawah :

a) “ Tetapi orang Melayu buat apa sekolah. Mengaji Quran sudah. Tahu sembahyang, tahu baca doa sedikit, cukup untuk bekalan, fikir Pak Musa. ’’

(halaman 39)

4.3 Mengamalkan Sikap Tolong-menolong

Masyarakat Melayu di kampung Nyiur Condong mempunyai semangat kemasyarakatan yang tinggi. Mereka saling membantu mengadakan kenduri tahlil dan sembahyang jenazah semasa Pak Musa meninggal dunia. Pelbagai lapisan masyarakat turut sama membantu tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

a) “Beberapa orang lain sedang mengupas kelapa, memasang tungku. Orang-orang perempuan menyiang ayam di tepi perigi sambil bercakap-cakap sesama sendiri. Seman terus ke pintu ruang dapur dan mengunjukkan barang-barang yang dibawanya. ’’

(halaman 50)

4.4 Semangat Cinta Akan Tanah Air

Dalam novel Interlok, bangsa Cina digambarkan tidak pernah lupa akan tempat asal mereka walaupun berada jauh di Tanah Melayu misalnya keluarga Cing Huat. Cing Huat masih mengingati tanah airnya dan berharap agar anak-anaknya tidak lupa akan asal usul mereka.

a) “ Dia ingin kembali ke negerinya. Biarlah dia mati dan dikuburkan berdekatan dengan ibunya di sana. Tetapi anak-anaknya masih kecil. Dia mahu anak cucunya kelak tidak putus perhubungan dengan tanah leluhurnya. ’’

(halaman 193)

4.5 Berpandangan Jauh

Masyarakat Cina terutamanya keluarga KimLock digambarkan sebagai orang yang berpandangan jauh. Dia bekerja bersungguh-sungguh untuk kesenangan hidupnya dan keluarga. Dia mahu mereka hidup senang kemudian hari. Oleh itu, KimLock dan anaknya Cing Huat membanting tulang mengerah tenaga dengan bekerja untuk mencari wang ringgit.

a) “Orang dua beranak ini sangat rajin bekerja, sejak pagi-pagi buta mereka sudah bangun menjemur pinang yang dibelah, kelapa kering yang dikopek, membuka kedai, menyusun barang-barang. Malam-malam, setelah kedainya ditutup, mereka kembali membelah pinang masak untuk dijemur dan mengopek kelapa kering. ’’

(halaman 171)

4.6 Patuh Kepada Pemimpin

Perumal merupakan tandil kebun kelapa tempat Maniam bekerja. Kuli-kuli di bawahnya sangat patuh kepada arahan Perumal dan menghormatinya.

a) “Perumal memberi isyarat kepada kuli lelaki di luar pagar menyuruh mereka masuk menolong mengangkat Maniam. Dua tiga orang masuk dengan takut-takut. Orang lain ragu-ragu. Mereka mengangkat Maniam ke bawah anjung dan dibaringkan di atas simen. ’’

(halaman 258)

4.7 Menyedari Kepentingan Pelajaran

Masyarakat India dalam novel ini digambarkan sebagai masyarakat yang sedar akan pentingnya pelajaran terutamanya kepada anak-anak mereka. Oleh itu, kuli-kuli di kebun kelapa tersebut memohon kepada pegawai Inggeris untuk membantu mendirikan sekolah Tamil buat anak-anak mereka.

a) “ Akhirnya orang putih tua itu bersetuju mendirikan sebuah sekolah Tamil di kebun itu. Guru-gurunya digaji sendiri oleh ibu bapa anak-anak yang belajar. Pengurusan kebun itu menyediakan tempat belajar saja. ’’

(halaman 282)

4.8 Mementingkan Harta, Pangkat Dan Kedudukan

Masyarakat Melayu digambarkan sangat mengambil kira perihal kedudukan, pangkat dan harta dalam kehidupan mereka. Mereka juga mementingkan persamaan taraf sekiranya ingin menjodohkan anak mereka. Hal ini jelas menerusi watak Mat Ranggi yang begitu memilih calon menantu buat anak perempuannya Gayah sehinggakan menolak banyak kali lamaran orang.

a) “Lebai Man tahu alasan itu tidak benar. Anaknya sendiri, sudah pun beranak, tidak berapa jarak umurnya dengan Gayah. Dan, Lebai Man juga tahu bahawa orang-orang yang masuk meminang dulu itu ditolak kerana mereka tidak setaraf, bukan kerana Gayah masih budak-budak. Isteri Lebai Man tersenyum sumbing ketika mereka meminta diri mahu pulang. Mat Ranggi pun amat dingin ketika bersalaman dengan Lebai Man di tepi bendul pintu rumahnya. ’’

(halaman 316)

4.9 Mempunyai Semangat Kebangsaan

Masyarakat Melayu jelas memiliki semangat patriotisme yang tinggi dalam mempertahankan tanah air mereka daripada belenggu penjajahan. Lazim dan Mamat Labu sangat terserlah semangat patriotiknya apabila mereka berusaha mengumpul orang kampung untuk pergi menentang penubuhan MalayanUnion.

a) “Setelah menerangkan tentang MalayanUnion Lazim meneruskan ucapannya. “Api kemarahan orang Melayu kini meluap-luap, rasa tidak puas hati tersebar ke mana-mana, daripada raja-raja sampai kepada rakyat kecil di kampung, di desa dan di kampung kita ini juga. “ Pekikan ‘Hidup Melayu’ bertalu-talu. Bunyi tepukan bergemuruh lagi, ’’

(halaman 392)

4.10 Mengenang Budi

Kaum Cina dan India yang datang ke Tanah Melayu sedar akan diri mereka yang datang mencari rezeki. Oleh itu, mereka sedar mereka perlu berbuat baik kepada orang-orang yang ada di Tanah Melayu terutamanya kaum Melayu itu sendiri. Mereka juga sedar mereka perlu menjalinkan hubungan yang baik sesama orang Melayu dan tidak bersikap mementingkan diri serta bertujuan mengaut keuntungan semata-mata.

a) “Tapi ini bukan soal hutang budi, ini soal perikemanusiaan. Kita harus ada timbang rasa sesama manusia, lebih-lebih lagi pada orang yang sudah menolong kita, sampai kita jadi senang seperti sekarang,” jawab Yew Seng seraya bangun dari meja itu mahu ke belakang.”

(halaman 207)

5.0 NILAI ILMU

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Menurut Mohd RashidIdris, etal. (2014),nilai juga diistilahkan sebagai ‘al-qimah’ dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai.Nilai membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah.Takrifan ilmu menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) pula bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Menurut Mohd RashidIdris, Abd. Rahman Napiah& Seri Lanang Jaya Rohani (2014), antara fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan ialah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandung pelbagai kemusykilan dan lain-lain.

Nilai ilmu yang terdapat melalui novel ‘Interlok” karya AbdulllahHussain menggambarkan kekuatan karya ini sebagai salah satu karya agung. Pengarang sangat kreatif dalam menggambarkan kisah 3 keluarga yang melukiskan kisah integrasi kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Melalui kisah- kisah tersebut tergambar kesusahan dan keperitan hidup pada zaman sebelum kemerdekaan. Masyarakat berusaha keras untuk menyara keluarga masing-masing dan memperjuangkan kemerdekaan. Melalui kisah yang diceritakan, terdapat beberapa nilai ilmu yang dapat dipelajari oleh pembaca. Antara nilai ilmu yang terdapat dalam novel ini ialah:

5.1 Ilmu Pengetahuan(Kepentingan Pendidikan)

Melalui kisah dalam novel ini, dapat menggambarkan kebijaksanaan pengarang mengolah kisah masyarakat yang kurang mementingkan pendidikan kepada anak-anak khususnya masyarakat Melayu. Berdasarkan kisah yang diceritakan dalam novel interlok, masyarakat Melayu khususnya tidak begitu mementingkan pendidikan selain pendidikan ilmu agama. Petikan tersebut menggambarkan pandangan masyarakat Melayu tentang pendidikan :

a) “Tetapi orang Melayu buat apa sekolah. Mengaji Quran sudah. Tahu sembahyang, tahu baca doa sedikit,cukup untuk bekalan, fikir Pak Musa.”

(halaman 39)

Bagi masyarakat Melayu, sudah memadai sekiranya anak-anak mereka hanya belajar ilmu agama sahaja dan anak-anak mereka tidak perlu ke sekolah kerana akhirnya akan menjadi petani. Namun, apabila pengarang mengisahkan kesan tidak menuntut ilmu menyebabkan Seman buta huruf, tidak tahu menulis dan menghadapi konflik apabila ingin mengesahkan surat hutang bapanya sama ada betul atau tidak. Hal ini memberi kesedaran kepada pembaca akan kepentingan pendidikan iaitu ilmu pengetahuan selain ilmu agama kepada anak-anak. Petikan tersebut menggambarkan kesan tiada ilmu pengetahuan yang dialami oleh Seman :

b) “Aku tak mengerti, mak. Aku tak mengerti.”Diam-diam Seman menangis. “Aku dulu tak sekolah, aku tak tahu baca, aku tak tahu tulis. Aku minta surat hutang bapa itu mau bawa pulang, tak diberi oleh orang Cina itu. Aku tak tahu apa aku mau buat, mak?”

(halaman 69)

Berdasarkan kisah tersebut, pengarang telah berjaya memberi kesedaran kepada pembaca akan kepentingan ilmu pengetahuan. Ekoran tidak tahu menulis dan membaca, Seman tidak dapat membuktikan sama ada perjanjian dan surat-surat hutang bapanya itu betul atau tidak. Bukan itu sahaja, disebabkan tidak tahu menulis dan membaca KimLock senang-senang ditipu oleh Paman Kok Leng. Hal ini digambarkan dalam petikan di bawah :

c) “KimLock amat marah. Dia tahu dia sudah kena tipu. Walaupun dia tidak tahu menulis dan membaca tetapi gores yang dibuatnya pada dinding rumah itu tidak akan menipunya.”

(halaman 144)

5.2 Ilmu Agama

Melalui kisah dalam novel Interlok, penulis menggambarkan bahawa keluarga Seman kurang penghayatan ilmu agama. Hal ini memberi gambaran bahawa masyarakat Melayu pada zaman sebelum kemerdekaan masih kuat berpegang kepada kepercayaan khurafat dan tiada pegangan ilmu agama yang kukuh. Menurut Syed Mohd Zakir (2011), disebabkan oleh kurangnya pengamalan ilmu agama dalam diri tidak mantap, amalan dan kepercayaan karut seperti penggunaan tengkorak serta mantera-mantera yang bercanggah dengan agama Islam untuk tujuan perubatan masih diamalkan.

Sebagai contoh penggunaan mantera untuk mengubati penyakit. Keluarga Seman mengubati penyakit Pak Musa menggunakan nasihat dukun yang menggunakan mantera dan ilmu khurafat semasa berubat. Misalnya menggunakan tengkorak orang yang mati dibunuh sebagai tangkal untuk menyembuhkan penyakit. Contohnya, Pak Utih memberikan tangkal yang sudah dibungkus kembali bersama-sama kemenyan ke dalam kain kuning yang kumal kepada Seman. Menurutnya bungkusan tersebut adalah tengkorak orang. Kenyataan Pak Utih boleh dilihat dalam petikan berikut:

a) “Bukan kelapa kering, Seman. Kelapa kering orang buat minyak saja, tak boleh buat ubat. Ini, kalau kau mahu tahu, tengkorak orang”.

(halaman 25)

Melalui kisah ini, kita dapat mengetahui bahawa masyarakat Melayu pada zaman sebelum kemerdekaan mempercayai kepada kuasa lain yang mampu menyembuhkan penyakit selain Allah S.W.T. Masyarakat dahulu tidak berpegang teguh kepada ajaran agama Islam iaitu hanya Allah S.W.T yang menyembuhkan dan memberi penyakit. Hal ini jelas menunjukkan kepentingan ilmu agama agar masyarakat tidak terus berada di jalan yang salah. Namun, ilmu agama masih dititikberatkan oleh masyarakat Melayu pada zaman sebelum merdeka. Misalnya mereka masih menghantar anak-anak mereka untuk belajar agama dengan Lebai Man. Namun, pegangan kepada agama Islam tidak kukuh kerana masih ada sesetengah masyarakat yang percaya kepada dukun untuk menyembuhkan penyakit. Petikan tersebut menggambarkan pandangan masyarakat berkaitan pendidikan ilmu agama dalam masyarakat Melayu :

b) “Tetapi orang Melayu buat apa sekolah. Mengaji Quran sudah. Tahu sembahyang, tahu baca doa sedikit,cukup untuk bekalan, fikir Pak Musa.”

(halaman 39)

Berdasarkan petikan tersebut jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu tetap menitikberatkan kepentingan ilmu agama. Selain itu, pembaca juga dapat mengetahui bahawa antara ilmu agama yang diajarkan antaranya merangkumi pelajaran berkaitan membaca Al-Quran, solat dan doa- doa. Jadi, pembaca dapat mengetahui akan cabang-cabang ilmu agama yang dipelajari oleh masyarakat berkaitan ilmu agama pada zaman tersebut.

5.3 Ilmu Perniagaan

Selain itu, penulis turut menceritakan berkaitan ilmu perniagaan. Orang Cina dikenali sebagai masyarakat yang menguasai perniagaan. Contohnya :

a) “Tetapi orang Cina lain, tidak boleh sama dengan orang Melayu. Orang Cina berniaga, mereka mesti tulis nama barang yang mereka beli, kalau tidak tulis takkan mereka ingat beribu-ribu jenis barang yang ada di dalam kedai mereka. Lagipun kalau ada orang berhutang, mereka kena tulis juga. Siapa yang berhutang, berapa banyak hutangnya.”

(halaman 39)

Berdasarkan petikan tersebut, pengarang menggambarkan bahawa masyarakat pada zaman dahulu berjual beli dengan memberi hutang terlebih dahulu. Selain itu, masyarakat Cina juga perlu ke sekolah kerana perlu tahu menulis nama orang berhutang dan jumlah hutang. Orang Cina juga dikenali sebagai peniaga. Di samping itu, pengarang turut menggambarkan tentang cara masyarakat dahulu mendapatkan barang dagangan kemudian cara yang digunakan untuk menjual semula hasil barangan yang dibeli. Hal ini digambarkan dalam petikan di bawah:

b) “Dia berani membeli dengan harga tunai dan menjual juga dengan harga yang agak murah. Kemudian dia mengambil barang-barang dari kedai runcit yang telah ada dan menjajanya ke kampung-kampung.”

(halaman 171)

Melalui petikan ini, pembaca dapat mengetahui bahawa peniaga membeli barangan dagangan dengan harga tunai dan kemudian menjualnya semula. Peniaga pada zaman sebelum merdeka juga amat gigih menjalankan perniagaan iaitu dengan menjajakan barang dagangan mereka ke kampung-kampung. Berdasarkan petikan ini, pembaca dapat mengetahui cara masyarakat dahulu menjalankan perniagaan. Bukan itu sahaja, wujud perdagangan mengikut sistem barter iaitu pertukaran barang. Hal ini digambarkan dalam petikan di bawah :

c) “ Mereka menolak telur ayam dan telur itik kepadanya, mereka tukar dengan barang keperluan yang dibawanya.

(halaman 171)

Berdasarkan petikan ini, pembaca dapat mengetahui masyarakat pada zaman dahulu mendapatkan barangan keperluan dengan menukar barang misalnya menukarkan telur ayam dan telur itik dengan barang keperluan yang dibawa oleh peniaga.

5.4 Ilmu Pertanian

Ilmu berkaitan pertanian juga diketengahkan dalam novel ini. Ianya adalah berkaitan ilmu penanaman padi. Contohnya :

a) “Akan dipotong saja padi itu, padi itu baru saja mengisi susu. Bulir-bulirnya belum lagi keras. Akan sia-sia juga padahnya”.

(halaman 106)

Berdasarkan petikan tersebut, pembaca dapat mengetahui perkara yang tidak boleh dilakukan semasa padi baru sahaja masak. Akibatnya akan sia-sia sahaja sekiranya sudah dipotong padi sebelum belum tiba masanya yang sesuai. Selain itu, petikan di bawah pula menceritakan tentang waktu masyarakat petani ke sawah dan masalah yang dihadapi oleh mereka apabila diserang belalang.

b) “Kebanyakan mereka belum sempat menghirup minuman teh panas sudah menyerbu ke sawah masing-masing. Belalang-belalang itu hinggap bergayutan pada batang-batang padi. Sudah ada penduduk yang membuat api di sekeliling sawah dan ada penduduk yang seperti gila menebah, memukul belalang-belalang itu dengan kayu. Ada penduduk yang memotong pokok padi tanpa tujuan, tetapi belalang itu tidak takut, seratus yang mati seribu yang datang, bangkainya berkaparan dan bau daging belalang yang rentung menyumbat hidung dengan rasa yang amat tidak menyenangkan.”

(halaman 107)

Melalui petikan tersebut, pembaca mengetahui cara masyarakat dahulu menghadapi serangan belalang di sawah mereka. Masyarakat membuat api di sekeliling sawah dan ada penduduk yang menebah, memukul belalang dengan kayu dan ada yang memotong pokok padi.

6.0 TEKNIK KEPENGARANGAN

Teknik dalam Kamus Dewan edisi keempat(2010) dapat didefinisikan sebagai pengetahuan yang berkaitan dengan pembuatan barang-barang hasil industri seperti jentera, kenderaan, bangunan dan lain-lain atau kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan lain-lain. Menurut Edward M. Anthony dalam FowziBoman(2011), teknik dapat didefinisikan sebagai satu muslihat atau strategi atau teknik yang digunakan guru yang mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian tertentu. Mengikut Hj. Husin dan Siti HajarHj. Abdul Aziz dalam FowziBoman(2011) lagi, teknik merupakan pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. Oleh itu, teknik merupakan satu cara yang digunakan oleh pengkaji untuk menyampaikan hasil-hasilnya kepada audience.

Kepengarangan dalam Kamus Dewan edisi keempat (2010) dapat didefinisikan sebagai perihal yang berkaitan dengan pengarang. Kepengarangan mengikut Foucault dalam Pengarang dan Kepengarangan ZaharahNawawi, dalam tradisi sastera cetak adalah tidak sama dengan konsep mengarang dan kepengarangan dalam tradisi manuskrip sama ada di Eropah mahu pun dunia Melayu. Oleh itu kepengarangan ialah hal-hal yang berkaitan dengan pengkaji termasuklah pengalaman yang terdapat dalam pengarang tersebut.Maka, teknik kepengarangan dapat didefinisikan sebagai cara-cara yang digunakan oleh pengarang termasuklah berkaitan dengan pengalaman-pengalamannya dalam mengolah sesuatu karya, hikayat dan sebagainya.

6.1 Teknik Pemerian

Dalam novel Interlok karya Abdullah Hussain, teknik kepengarangan yang digunakan ialah teknik pemerian. Teknik pemerian ialah teknik yang digunakan oleh pengarang untuk menerangkan peristiwa dalam plot secara langsung. Hal ini demikian kerana pengarang akan menerangkan atau menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung iaitu pengarang seolah-olah menjadi tukang cerita dan menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung (Timcampy : 2011). Dalam novel interlok teknik pemerian ini dapat dilihat pada watak pak Musa. Pengarang telah menceritakan keadaan Pak Musa sebelum dan selepas diserang penyakit batuk.

a) “Waktu bapanya masih sihat, tubuhnya berisi seperti tubuhnya sekarang. Walaupun kulitnya agak kehitaman, tetapi dia termasuk orang yang segak. Rambutnya hitam ikal, matanya jernih. Perwatakannya tinggi. Pada masa mudanya dia selalu membuat kerja yang berat-berat dan hampir tidak pernah mengenal masa istirahat, berhujan panas, berangin dan berembun menjadi kesukaannya. Apabila umurnya meningkat tua maka mulailah dia dihinggapi penyakit; mula-mula demam, kemudian lenguh sendi-sendi, akhirnya batuk. Mukanya begitu cengkung, tulang-tulang pipinya menonjol ke luar menolak kulit, matanya jauh ke dalam, tulang-tulang dadanya dapat dihitung satu per satu, tangan dan kakinya kecil, lembik tidak kenyal…”

(halaman 9)

Selain itu, pengarang juga telah menceritakan tentang suasana pada malam Saman hendak pergi ke rumah Pak Utih. Suasana pada malam tersebut agak gelap dan keadaan yang sunyi sepi itu diterangkan secara terperinci oleh pengarang. Hal ini dapat dibuktikan dengan petikan berikut:

b) “ Malam yang masih muda itu belum berapa gelap sangat. Kesan yang ditinggalkan matahari masih menguasai suasana. Jalan kecil di pinggir kampung itu masih dapat dilihat alurnya. Bunyi jengkerik mendayu-dayu, begitu memilukan. Seman berjalan tergopoh-gapah. Kakinya yang tidak …”

(halaman 15)

6.2 Teknik Imbas Kembali

Teknik imbas kembali merupakan satu teknik yang digunakan oleh pengarang untuk menceritakan sesuatu peristiwa yang sudah lepas. Pengarang menggambarkannya melalui ingatan, kenangan, lintasan dan imbasan sesuatu watak terhadap peristiwa yang telah berlaku sebelumnya (Timcampy : 2011). Dalam novel Interlok ini, teknik imbas kembali dapat disaksikan dalam watak Mak Limah. Mak Limah membandingkan suaminya pada suatu ketika dahulu dengan anaknya pada masa ini. Mak Limah iaitu semasa dia membandingkan suaminya semasa muda dengan anaknya iaitu Seman. Contoh petikan adalah seperti berikut:

a) “Mak Limah memandang anaknya yang sedang membelah kayu itu dengan penuh erti. Belum pernah dia menaruh perhatian sedemikian rupa pada bentuk tubuh anaknya seperti dilakukan petang ini. Seolah-olah itulah pertama kali dia sedar bahawa anaknya itu sudah besar dan bukan budak-budak lagi. Otot-otot yang timbul tenggelam pada kedua-dua belah bahu anaknya itu mengingatkan dia pada suaminya waktu muda-muda dulu. Suaminya jarang memakai baju waktu bekerja. Sepanjang masa tubuhnya yang berkulit sawo matang itu terdedah pada cahaya matahari. Perangai itu sekarang diikuti oleh anak tunggalnya itu…”

(halaman 1)

Selain itu, Mak Limah juga telah mengimbas kembali ketika suaminya masih hidup dan apa yang dilakukan oleh suaminya terhadap dia dan anak tunggalnya. Dia berasa sangat sedih kerana suaminya telah meninggal dunia dan dia amat terasa akan kehilangan suaminya. Hal ini dapat dibuktikan dengan petikan berikut:

b) “ …Dia terkenang betapa mereka berdua hidup sebagai suami isteri. Mereka pernah menderita kepahitan hidup. Mereka dijauhkan oleh kaum keluarga, sehingga mereka berhijrah ke kampung itu. Mengambil jiran tetangganya di situ menjadi kaum keluarganya yang baru. Suaminya bertungkus lumus mengatasi kesusahan yang pernah dideritainya. Mak Limah tidak pernah bertanya sesuatu tentang pekerjaan apa yang dibuat suaminya. Apa yang mahu ditanyakan lagi, setiap hari suaminya memberi dia makan dan minum, pakai- patut yang cukup, dan dia teringat pada suatu hari suaminya mengatakan, ….”

(halaman 35-36)

6.3 Teknik Dialog

Teknik dialog merupakan pertuturan atau percakapan sekurang-kurangnya antara dua watak ataupun lebih. Pengarang menggunakan teknik ini untuk menggerakkan atau mengembangkan cerita selanjutnya. Melalui dialog ini juga pengarang dapat memaparkan atau menggambarkan pendapat atau pemikiran (Timcampy : 2011). Dalam novel Interlok, terdapat juga teknik dialog(nota rujukan KOMSAS: novel Interlok). Namun, dialog yang digunakan oleh pengarang merupakan dialog yang pendek sahaja. Hal ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat tertentu yang dianggap penting untuk menggerakkan sesuatu watak. Sebagai contohnya:

a) “ Waktu memasuki Bahagian II kebun getah mereka dicabar oleh sekumpulan orang yang bersembunyi di situ. Dia berhenti, parangnya digenggam kuat-kuat. “Siapa kamu?” tanya seorang yang tinggi kurus, hitam legam dalam samar-samar subuh itu. “Saya Saman.”“Seman?” sahut suatu suara lain. Seman kenal suara itu. Maniam keluar dari belakang orang yang mencabar itu. “Seman! Seman!” Terdengar suara lain bersahut-sahutan. Mereka datang mengerumuni Seman. “ Saya datang mau berlindung di sini,” Kata Seman kepada Maniam. “Ini isterimu?” tanya Maniam menunjuk pada PohEng yang diam terpaku tidak jauh di samping ibu Seman…”

(halaman 342)

6.4 Teknik Monolog

Teknik monolog dalaman ialah teknik yang merujuk kepada percakapan, lintasan, atau rintihan dalam hati atau fikiran sesuatu watak dan tidak diketahui oleh watak-watak yang lain (Timcampy : 2011). Dalam novel Interlok, monolog dalaman ini dapat ditunjukkan dalam watak Seman iaitu sewaktu Pak Utih merawat ayahnya yang sakit di rumahnya. Sebagai contohnya:

a) “Seman bagai tidak percaya. Dalam hatinya timbul suatu perasaan yang mengatakan bahawa dukun itu ada memelihara hantu. Tetapi Seman tidak berani ingat lama-lama tentang hantu itu, dia takut kalau-kalau hantu itu tahu apa yang difikirkannya.”

(halaman 26)

Selain itu, seman juga telah tidak berani bermonolog kerana dia khuatir fikirannya dapat dibaca oleh dukun tersebut. Sebagai contohnya:

b) “…Tidak banyak yang mereka percakapkan ketika minum kopi, masing-masing lebih banyak melayan fikiran sendiri-sendiri. Seman takut fikirkan yang bukan-bukan, diketahui oleh dukun yang banyak pengalaman itu..”

(halaman 27)

6.5 Teknik Suspen

Teknik suspen merupakan peristiwa yang menggambarkan perasaan tertanya-tanya dan ingin tahu para pembaca untuk mengikuti cerita. pembaca ingin tahu perkara yang akan berlaku seterusnya (Timcampy : 2011). Dalam novel Interlok, Seman tertanya-tanya akan rumah yang mereka diami ini merupakan hak kepada siapa setelah Pak Musa memberitahunya tanpa pengetahuan Mak Limah. Sebagai contohnya:

a) “… “Harta yang ada pada kita ini bukan harta kita. Harta orang lain. Nama saja nama kita, tapi yang punya orang lain. Kita tak lebih daripada orang menumpang saja.” …dia bingung. Dia tidak mengerti. ‘Harta siapa?’ hatinya bertanya. Kalau harta orang mengapa bapaku yang menjaga? Mengapa aku yang ambil berat menjaga lembu itu setiap hari? Dia sungguh tidak mengerti.”

(halaman 12)

7.0 SENI BAHASA

Bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan. Sastera tidak akan hidup tanpa bahasa. Bahasa sastera pula akan hambar tanpa sentuhan seni yang efisien. Dalam medium penerbitan, terdapat banyak karya sastera yang hadir dengan sentuhan bahasa yang baik. Namun begitu, karya tersebut seakan-akan kaku tanpa suntikan seni. Seni dalam sastera umpama tablet yang akan memberikan kepuasan kepada pembaca. Jika tablet seninya terlebih dos, sasteranya akan kabur dan mungkin akan hilang terus. Hal inilah yang akan menjauhkan sastera daripada khalayak. Sebaik-baiknya, seni dalam sastera harus dikawal supaya tidak terlebih atau terkurang,NimoizT.Y (2012).

Dalam karya sastera, penulis menggunakan unsur metafora, simile, anafora dan banyak lagi sebagai ganti ungkapan langsung.Di situlah letaknya keunikan karya sastera. Perkara yang paling penting, karya sastera memerlukan sentuhan kreativiti yang tersendiri.Oleh itu, tidak hairanlah apabila karya puisi merupakan karya yang penuh dengan bahasa berseni yang indah, sesuai dengan peniruan alam seperti definisi seni oleh Plato.

7.1 Teknik Pemerengganan

Perenggan adalah unit karangan yang mengandungi beberapa ayat, yang antara satu dan lain mempunyai hubungan dari segi makna dan tatabahasa. Teknik pemerengganan terdiri daripada teknik penyenaraian, teknik percontohan, teknik perbandingan, teknik pentakrifan, teknik kontras masa, teknik falsafah, teknik pengkelasan, teknik soalan-jawapan, teknik jawapan-soalan, teknik soalan-jawapan-soalan, teknik analogi dan teknik urutan ruang.

7.1.2 Teknik Soalan Jawapan

Teknik soalan jawapan merupakan teknik pemerengganan yang menyatakan soalan terlebih dahulu dan diikuti oleh jawapan. Contohnya:

a) “Bagaimana hujan tadi malam?” (soalan)
“Lebat sekali,” ujar KimLock. “Kami semua basah kuyup. Terpal ini tak berguna sama sekali.” (jawapan)

(Halaman 123)

b) “Lu minum samsu sikit?” tanyanya pada KimLock (soalan)
“Gua tak mahu,” jawab KimLock tetapi lidahnya menjilat tepi bibir (jawapan)

(Halaman 139)

7.1.3 Teknik Jawapan Soalan

Berlainan dengan teknik soalan jawapan. Teknik jawapan soalan adalah sebaliknya, teknik ini mendahulukan jawapan barulah soalan. Contohnya:

a) “Aku juga tak sangka kau ada di sini(jawapan). Sudah berapa lama kau di sini?”
(soalan)

(Halaman 285)

7.1.4 Teknik Soalan-Jawapan-Soalan

Teknik ini pula, mendahulukan soalan disertakan jawapan dan disertakan dengan soalan juga. Contohnya:

a) “Lu sudah pernah kerja?” tanya Kong Beng (soalan)
“Belum,” jawab Yew Seng. (jawapan)

“Lu sanggup kerja berat macam itu?” Kong Beng menunjukkan ke arah orang yang bekerja di hujung palung itu. (soalan)

(halaman 306)

7.1.5 Teknik Percontohan

Benda (sebahagian benda-benda) yang sifat-sifatnya (rupa, macam, keadaan) sama dengan semua benda daripada jenisnya, benda yg dapat mewakili benda lain kerana sama sifat­-sifatnya. Contohnya:

a) “... Kalau sudah banyak duit, nanti, dia tidak saja boleh berjual barang runcit
malah boleh membeli padi, beras, ikan, telur, kelapa dan pinang.”

(Halaman 170)

b) Kedainya bertambah besar, lebih besar daripada kedai-kedai lain di pekan
itu; menjual segala macam barang – dari perkakas dapur, perkakas rumah,
perkakas pertanian, sampai kepada ikan basah dan sayur-mayur.

(Halaman 196)

7.2 Stilistik (Gaya Bahasa)

Menurut Hashim Awang dalam Abu Hassan dan Mohd RashidMdIdris (2012), gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu pengarang, fikiran dan tujuannya. Strategi skema merupakan penyimpangan atau perubahan dari segi bentuk ayat atau susunan perkataan.

7.2.1 Skema Perulangan

7.2.1.1 Anafora

Anafora merupakan pengulangan perkataan yang sama pada permulaan klausa. Dalam Interlok terdapat banyak perulangan perkataan Dia pada setiap permulaan ayat. Hal ini dapat dilihat dalam ayat dibawah:

a) Dia terus menutup pintu reban dan mulai menikam-nikam tanah. Dari satu
sudut ke satu sudut. Dia tidak peduli pekikan ibunya dari dapur. Dia menikam
tanah di dalam reban itu dan ayam terus berkeok-keok dengan bisingnya.

(halaman 63)

b) Seman tidak mahu berpaling lagi ke rumah itu; tetapi Mak Limah dengan perasaan terharu yang tidak dapat ditahan, termenung sejurus di depan tangga. Dia merenung lama pada segala benda yang dapat dicapai oleh matanya dalam samar-samar fajar pagi itu. Dia menahan air matanya seberapa yang boleh.

(Halaman 300)

7.2.1.2 Epistrop

Pengulangan perkataan yang sama pada akhir klausa yang berturutan dikenali sebagai epistrop. Pengulangan pada klausa akhir dapat dikal pasti berada dalam penulisan Interlokseperti kata itu. Contohnya:

a) Dia akan meminta kerja di lombong itu. Kerja apa pun dia tidak kira, asalkan jauh dari bapanya, asalkan dia tidak lagi mendengar leteren bapanya yang tidak pernah habis itu.

(Halaman 306)

7.2.2 Skema Pertautan

7.2.2.1 Disfemisme

Menurut Mohd RashidMdIdrisetal. (2014), disfemisme ialah kata-kata kasar untuk tujuan tertentu. Hal ini dapat dilihat dalam petikan halaman 249, iaitu:

a) CelakaSuppiah, mengapa dia ke mari?

Contoh seterusnya:

b) “Eh Suppiah,” pekik Maniam dari jauh. “Mari sini, aku mau ajar mulutmu. Binatang! Kau mau rosakkan rumah tanggaku ya? Binatang!”

(Halaman 253)

7.2.2.2 Eufemisme

Eufemisme adalah ungkapan yang lebih halus sebagai pengganti ungkapan yang dirasakan kasar. Contohnya:

a) Malini tidur terlentang, perutnya membusut, mukanya ditutup dengan lengan tangan kirinya, tangan kanannya memegang-megang perutnya.

(Halaman 251)

7.2.3 Skema Perbandingan

7.2.3.1 Personifikasi

Personifikasi merujuk kepada gambaran yang menganggap benda-benda dan idea seperti manusia. Contohnya:

a) Malam masih muda itu belum berapa gelap sangat. Kesan yang ditinggalkan matahari masih menguasai suasana. Jaln kecil di pinggir kampung itu masih dapat dilihat alurnya. Bunyi cengkerik mendayu-dayu, begitu memilukan.

(Halaman 15)

7.2.4 Skema Pengguguran

7.2.4.1 Asidenton

Menurut Mohd RashidMdIdrisetal. (2014), asidenton merupakan pengguguran kata hubung. Berikut adalah petikan yang mengandungi skema asidenton:

a) Nasib mereka baik. Nasib anaknya baik, nasib dia baik.

(Halaman 138)

Berdasarkan petikan di atas, berlaku pengguguran kata hubung ‘dan’ yang sepatutnya “Nasib anaknya baik dan nasib dia baik”.

7.2.4.2 Sinkof

Sinkof adalah singkatan perkataan seperti mu, ku, kau, tak, nak dan sebagainya. Antara contoh petikan yang mengandungi unsur sinkof seperti berikut:

a) Tak pernah dahaga jadi dahaga; tak pernah kena pukul kena pukul. Tak pernah risau jadi risau. Ya, Tuhanku. Mengapa aku jadi begini?

(Halaman 249)

7.2.5 Peribahasa

Rangkaian perkataan atau ungkapan yang telah tersimpul dengan susunan yang khas dan digunakan dengan makna khusus, berlainan daripada makna asal.Kebiasaanya tidak boleh berdiri sendirian dan mempunyai makna berlapis.Contohnya:

a) Sejuk terasa kaki mereka. Bau tanah dan rumput amat menyegarkan perasaan Seman. Daripada anak tani dia akan menjadi kuli kebun getah, dari hidup seperti ayam kais pagi makan pagi dia akan hidup seperti buruh, terima gaji tiap-tiap bulan.

(Halaman 301)

8.0` KESIMPULAN

Novel ‘Interlok’ karya Abdullah Hussain merupakan sebuah karya yang mengisahkan tentang kehidupan 3 kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Melalui karya ini pengarang berjaya memaparkan kisah pahit dan manis tentang kehidupan masyarakat semasa penjajahan berlaku di Tanah Melayu dan bagaimana semangat kesatuan antara ketiga-tiga kaum ini akhirnya membawa kepada kemerdekaan di Tanah Melayu.Pengarang sangat kreatif dalam memaparkan isi dan mesej, nilai budaya dan pandangan hidup yang hendak disampaikan serta terselit nilai ilmu yang boleh dipelajari oleh pembaca melalui penceritaan dalam novel ini. Bukan itu sahaja, teknik kepengarangan dan seni bahasa yang digunakan oleh pengarang juga dapat menarik minat pembaca untuk mengetahui kisah “Interlok” sehingga penghabisannya.Jelaslah menunjukkan bahawa karya ini memenuhi ciri-ciri karya agung Melayu kerana di dalamnya terkandung pelbagai perkara yang dapat dijadikan santapan, rujukan, ingatan dan teladan diikuti dengan bahasa kepengarangannya yang menarik dan kreatif.

Rujukan

Abdullah Hussain (2005). Interlok. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
FowziBoman(2011). Kota Marudu. Blog dunia pendidikan(tugas rasmi guru sekolah rendah). Diperoleh daripada http://wwwcikgusktimbangbatu.blogspot.com/2011/01/kaedah-dan- teknik-pengajaran.html
Jimadie Shah Othman (2010).PENA pertahan novel, Malaysiakini, 30 Disember 2010. Diperoleh pada 5 Mei 2015
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Laman Bahasa. Nota rujukan KOMSAS: novel Interlok. Diperoleh daripada https://lamanbahasa.files.wordpress.com/2010/03/aspek-sastera-interlok.pdf
Mawar Safei (2010).Interlok novel bangsa Malaysia, Utusan Malaysia, 26 Disember 2010. Diperoleh pada 5 mei 2015
Mohd RashidMdIdris, Abd. Rahman Napiah& Seri Lanang Jaya Rohani (2014). Karya Agung Melayu. Tanjung Malim : Emeritus Publications.
NimoizT.Y (2012). Bahasa Berseni dalam Karya Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Diperoleh pada Mac 22, 2015 daripada http://dwnbahasa.dbp.my/?p=543
...Pengarang dan kepengarangan ZaharahNawawi. Diperoleh daripada http://studentsrepo.um.edu.my/2256/6/BAB_3.pdf
Syed Mohd Zakir (2011) . InterlockForm A MulticulturalismPerspective. MalayLiterature. Volume 24. Number 2.
Timcampy (2011). Melunas rindu. Diperoleh daripada http://melunasrindutimcampy.blogspot.com/p/teknik-plot.html




















No comments:

Post a Comment