Gurindam 12



ISI KANDUNGAN



PERKARA MUKA SURAT

1.0 Pengenalan

2.0 Falsafah dan Pemikiran

2.1 Falsafah

2.2 Pemikiran

3.0 Kepengarangan dan Estetika

4.0 Penutup

Rujukan


1.0 Pengenalan

Gurindam 12 adalah merupakan karya Raja Ali Haji yang sangat terkenal. Raja Ali Haji dilahirkan di Pulau Penyenget, Kepulauan RiauRaja Ali Haji merupakan keturunan kedua (cucu) kepada Raja Haji Fisabilillah, Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Lingga-Riau. Mahakaryanya, Gurindam Dua Belas, yang diterbitkan pada tahun 1847 menjadi pembaharu arah aliran kesusasteraan pada zamannya. Raja Ali Haji yang berpendidikan Arab masih mengekalkan bahasa Melayu Klasik yang banyak mempengaruhi oleh perkataan Arab dan struktur Arab. Secara umumnya, gurindam juga dikenali sebagai salah sebuah puisi. Gurindam 12 adalah sekumpulan syair yang diciptakan oleh Raja Ali Haji di Pulau Penyengat. Beliau adalah seorang sasterawan di Kepulauan Riau pada ketika itu dan diakui sebagai salah seorang Pahlawan Nasional. Raja Ali Haji mencipta gurindam ini adalah sebagai mas kahwin yang diberikan kepada Engku Puteri Hamidah yang tinggal di Pulau Penyengat. Mas kahwin ini dipahatkan di batu marmar sebagai bukti rasa cintanya.Dalam kata-kata yang termaktub di dalam gurindam tersebut sangat kental sekali nuansa keislamannya kerana gurindam tersebut mengandungi nasihat-nasihat yang sangat berguna dan bersifat universal bagi masyarakat, khususnya masyarakat dimana Raja Ali Haji itu tinggal, iaitu masyarakat Melayu. Hal ini mungkinkerana unsur Islam yang dominan dalam kehidupan bermasyarakat kebudayaan Melayu. Gurindam 12 mempunyai banyak unsur nasihat yang boleh diguna pakai oleh masyarakat pada zaman sekarang. Kajian ilmiah ini ditulis untuk mengkaji Gurindam 12 karya Raja Ali Haji dari aspek falsafah, pemikiran, kepengarangan dan estetika.

2.0 Falsafah dan Pemikiran

2.1 Falsafah

Menurut Mana Sikana (1996), falsafah ialah suatu kesenian berfikir yang waras, bernas dan mendalam. Karya sastera yang dihasilkan yang membicarakan sesuatu subjek biasanya akan membicarakan sesuatu itu secara artistik dan estetik, maka di situlah tersimpannya mutiara falsafahnya. Di antara bidang falsafah yang diberi penekanan ialah etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik dan logik. Manakala, menurut Mohd RashidHj.MdIdriset.al, falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Tegasnya, ‘berfalsafah’ ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran tentang segala sesuatu yang di masalahkan dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Apabila seseorang berfikir sedemikian dalam menghadapi masalah dalam hubungannya dengan mencari kebenaran, maka orang itu adalah falsafah. Daripada pendapat tersebut, rumusan dapat dibuat bahawa falsafah seharusnya ditandai dengan caranya iaitu berfalsafah, dan juga masalahnya iaitu persoalan falsafah.

Gurindam 12 membicarakan mengenai unsur-unsur nasihat yang boleh dijadikan pedoman serta panduan dalam kehidupan masyarakat terutamanya bagi masyarakat yang beragama Islam. Hal yang demikian kerana, Raja Ali Haji menerapkan unsur ajaran agama Islam yang wajib dipatuhi oleh setiap manusia. Falsafah yang jelas kelihatan dalam Gurindam 12 ialah falsafah sosial. Falsafah sosial adalah gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Falsafah sosial yang terkandung dalam Gurindam 12 dapat dilihat apabila pengarang cuba memasukkan unsur rukun Islam yang wajib dipatuhi oleh setiap individu yang beragama Islam. Berikut merupakan contoh keratan gurindam yang membicarakan mengenai rukun Islam :


Barang siapa mengenal yang tersebut
Tahulah ia makna takut
Barang siapa meninggalkan sembahyang
Seperti rumah tiada bertiang
Barang siapa meninggalkan puasa
Tidaklah mendapat dua termasa
Barang siapa meninggalkan zakat
Tiadalah hartanya beroleh berkat
Barang siapa meninggalkan haji
Tiadalah ia menyempurnakan janji

(Gurindam 12, Pasal ke-2)

Petikan diatas membicarakan tentangperkara yang wajib dipatuhi oleh individu yang beragama Islam seperti meninggalkan sembahyang, puasa, zakat, dan Haji serta akibatnya. Pengarang juga cuba mengetengahkan perkara tersebut kepada setiap individu supaya wajib melakukan setiap perkara tersebut kerana ianya merupakan perintah Allah S.W.T. hal ini kerana semakin seorang dekat dan mengetahui tentang agamanya pasti manusia tersebut akan takut dan orang tersebut harus menjalani perintah-perintah Allah S.W.Tdan wajib melaksanakannya.

Selain itu, pengarang juga memasukkan unsur falsafah etika di dalam penulisan beliau. Menurut Sahakian (1993), etika"falsafah moral" merupakan salah satu cabang utama falsafah yang merangkumi kelakuan betul dan kehidupan baik. Liputan etika adalah lebih luas daripada menganalisis apa yang betul dan salah seperti yang sering dianggap. Antara aspek utama etika ialah kehidupan baik, iaitu kehidupan yang bernilai atau memuaskan yang dianggap lebih penting daripada tingkah laku moral oleh banyak ahli falsafah.Gurindam 12 sememangnya kaya dengan unsur nasihat dan pengajaran yang ditulis khas sebagai salah satu rujukan bagi masyarakat dahulu. Etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Berikut merupakan antara contoh teks Gurindam 12 yang mengandungi unsur etika:

Apabila terpelihara mata
Sedikitlah cita-cita
Apabila terpelihara kuping
Khabar yang jahat tiadalah damping
Apabila terpelihara lidah
Niscaya dapat daripadanya faedah
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan
Daripada segala berat dan ringan
Apabila perut terlalu penuh
Keluarlah fi’il yang tidak senonoh
Anggota tengah hendaklah ingat
Di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki
Daripada berjalan yang membawa rugi

(Gurindam 12, Pasal Ke-3)

Petikan diatas membincangkan mengenai falsafah etika iaitu dari aspek pengajaran. Pengajaran yang dapat diambil daripada petikan teks Gurindam tersebut ialah setiap individu perlu memelihara setiap anggota tubuh badan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T daripada melakukan perkara yang sia-sia sebaliknya anggota-anggota tersebut perlu digunakan untuk tujuan yang baik sahaja. Contohnya, mata harus di pergunakan sebaik-baiknya jangan sampai kita melihat apa yang dilarang oleh Allah S.W.T, telinga harus dijauhkan dari segala macam bentuk godaan dan hasutan, dan orang yang menjaga percakapannya akan mendapatkan manfaat.


2.2 Pemikiran

Pemikiran bermula dengan idea yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya (Mohd RashidHj. MdIdris , et.al, 2014). Pemikiran juga ialah proses mental yang membenarkan yang hidup untuk menjadikan dunia sebagai model dan untuk menghadapinya dengan cekap menurut matlamat, rancangan, hujung dan kemahuan. Konsep berkaitan dengan pemikiran ialah sentimen, kesedaran, idea, dan imaginasi.

Pemikiran utama dalam Gurindam 12 ialah tentang nasihat yang berguna yang ditujukan khas kepada golongan masyarakat tertentu yang beragama Islam khususnya. Berikut merupakan petikan teks Gurindam 12 yang mengandungi unsur nasihat:



Cahariolehmu akan sahabat

Yang boleh dijadikan obat

Cahariolehmu akan guru

Yang boleh tahukan tiap seteru

Cahariolehmu akan isteri

Yang boleh menyerahkan diri

Cahariolehmu akan kawan

Pilih segala orang yang setiawan



Cahariolehmu akan abdi

Yang ada baik sedikit budi

(Gurindam 12, Pasal Ke-6)

Petikan membicarakan tentang pergaulan dan saranan untuk mencari sahabat yang baik, guru sejati yang dapat mengajarkan mana yang baik dan buruk. Seterusnya, isteri yang patut diambil adalah isteri yang berbakti dan pengikut, pembantu, budak yang baik untuk diambil adalah orang yang berbudi.



3.0 Kepengarangan dan Estetika

Estetik dan kepengarangan adalah dua aspek yang penting dan mempengaruhi kedudukan sebuah teks dan seseorang sasterawan. Estetik berhubung kait dengan persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera dan membicarakan unsur keindahan pembinaannya, bahasanya dan pengalaman keseronokan membacanya. Estetik ini juga merupakan kajian deria atau nilai deria emosi, ataupun timbangan sentimen dan cita rasaserta sering dikaitkan dengan falsafah seni. Sementara kepengarangan pula merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya.

Pendekatan estetik ialah menilai teks sastera dengan merujuk pada aspek keindahan dan kekuatannya. Estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Dalam seni sastera, apabila kita berbicara tentang keindahan, ia akan selalu merujuk kepada keindahan yang berkait rapat dengan kesan daripada pengalaman perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Keindahan juga terpancar daripada bahasa yang digunakan pengarang.



Dalam Gurindam 12, pengarang banyak menggunakan bahasa-bahasa klasik yang mempunyai unsur keindahannya yang tersendiri. Antara contoh bahasa klasik yang diguna oleh pengarang ialahcahari. Selain itu, pengarang juga menggunakan bahasa Arab iaitu syaitan. Contohnya:

Tahu pekerjaan tak baik tetapi dikerjakan
Bukannya manusia yaitulahsyaitan
Kejahatan seorang perempuan tua
Itulah iblis punya penggawa
Kepada segala hamba-hamba raja
Di situlah syaitan tempatnya manja
Kebanyakan orang yang muda-muda
Di situlah syaitan tempat bergoda
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan
Di situlah syaitan punya jamuan
Adapun orang tua(h) yang hemat
Syaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru
Dengan syaitan jadi berseteru

(Gurindam 12, Pasal ke-9)

Seterusnya, kepengarangan pula dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang. Keperibadian merupakan kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Manakala, prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seseorang pengarang. mereka harus berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing.

Sehubungan dengan itu, Gurindam 12merupakan karya Raja Ali Haji yang mempunyai unsur nasihat yang berguna kepada masyarakat. Melalui penulisan Gurindam 12, keperibadian pengarang terserlah dan dianggap sebagai seorang individu yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam. Selain itu, melalui penulisan Gurindam 12 juga, ia dapat menonjolkan lagi perwatakan Raja Ali Haji sebagai seorang individu yang gemar melakukan perkara-perkara yang baik sejajar dengan syariat Islam. Selain itu, penulisan Gurindam 12 juga adalah bertemakan budi pekerti, nasihat dan pengajaran hidup yang penting. Sebagai contoh:

Jika hendak mengenal orang berbangsa
Lihat kepada budi dan bahasa
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia
Sangat memeliharakan yang sia-sia
Jika hendak mengenal orang mulia
Lihatlah kepada kelakuan dia
Jika hendak mengenal orang yang berilmu
Bertanya dan belajar tiadalah jemu
Jika hendak mengenal orang yang berakal
Di dalam dunia mengambil bekal
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai
Lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai

(Gurindam 12, Pasal Ke-5)

Berdasarkan gurindam di atas, ia menjelaskan tentang pentingnya pendidikan dan memperluas pergaulan dengan kaum terpelajar. Hal ini demikian, jelas menunjukkan keperibadian Raja Ali Haji dalam kepengarangannya. Beliau bukan sahaja menggunakan bahasa-bahasa yang indah dalam menyampaikan nasihat, malah nasihat-nasihatnya itu boleh diguna pakai sepanjang zaman. Gurindam 12 ini boleh dijadikan pedoman segenap lapisan masyarakat dalam menempuh kehidupan seharian.



4.0 Penutup

Kesimpulannya, Gurindam 12 merupakan salah satu karya agung Melayu yang terulung. Hal ini demikian kerana, karya agung ialah karya yang dianggap oleh pelbagai institusi dan badan berautoriti sebagai karya yang mencerminkan kehebatan sesuatu bangsa melalui amalan cara hidup, adat istiadat, falsafah, nilai ilmu dan seumpamanya. Dengan kata lain, karya agung merupakan karya-karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah, budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca. Unsur dalam Gurindam 12 ini merangkumi mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan di dalam karya tersebut. Selain itu, di dalam Gurindam 12 juga mengandungi nasihat tentang agama, budi pekerti, pendidikan, moral, dan tingkah laku. Oleh itu, pada pendapat saya, karya ini sangatlah sesuai dijadikan bahan bacaan wajib dalam pengajaran dan pembelajaran KOMSAS di sekolah.

Rujukan

Hj. Mohd RashidHj. MdIdris, et.al (2014). Karya Agung Melayu. Tanjong Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mana Sikana (1996). Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sahakian, William S. &Sahakian (1993).Ideas of the Great Philosophers.Barnes and Noble Books.



No comments:

Post a Comment