Hikayat Aceh

1.0 Pengenalan

Hikayat Aceh merupakan salah satu daripada kesusasteraan Melayu yang ditulis pada masa dahulu. Pengarangnya tidak diketahui dan ia adalah antara karya yang masih terselamat sehingga hari ini. Hikayat Aceh mengisahkan mengenai penguasaan Aceh di bawah Iskandar Muda dan dipercayai mula dikarang selepas penabalan Iskandar Muda iaitu 1607 dan sebelum akhir abad ke-17, apabila karya ini diketahui oleh mubalih Belanda, Leidekker. Sesuai dengan apa yang dikatakan oleh Van derLinden dalam TeukuIskandar (2001), dapat kita terima bahawa karya ini dikarang pada zaman kerajaan Sultan Iskandar Muda. Oleh itu, dalam membincangkan tentang HikayatAcheh, unsur-unsur seperti pemikiran, nilai ilmu, nilai budaya, pandangan hidup, seni bahasa, dan teknik kepengarangannya akan diketengahkan dalam penulisan ini.

2.0 Sinopsis

Hikayat Acheh itu mula-mulanya meriwayatkan kisah mulai daripada zaman pemerintahan Sultan Ibrahimdi­Acheh Utara. Dalam tahun.1525 Masihi baginda telah memberontak melawan Maharaja yang berkerajaan di negeri Pasai, akhirnya Sultan Ibrahim dapat mengalahkan Kerajaan Pasai. Maka semenjak masa itulah pusat pemerintahan di Pasai itu telah berpindah ke Acheh dan kekuasaannya semakin berkembang.Kekuasaan Acheh telah sampai ke­puncak kebesarannya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam pada tahun l606-1636 Masihi, sebilangan besar negeri-negeri dalam Pulau Perca ituter­takluk ke bawah perintahnya, demikian juga negeri-negeri di dalam Semenanjung Tanah Melayu, termasuklah negeri Johor. Kemudian di sebutkan pula sesudah Melaka atuh ke tangan Feringgi,berulang-ulang kali negeri itu telah diserang oleh angkatan perang Acheh dan ada kalanya berbulan-bulan pula negeri Melaka itu dikepong.

Seterusnya diriwayatkan bahawa Sultan Iskandar pernah mencadangkan kepada Sultan Agung Mataram yang menguasai seluruh Jawa dan Madura, dan pada masa itu sedang menentang kekuasaan Belanda di Jakarta supaya bersetuju bekerjasama melawan kekuasaan asing itu, tetapi cadangan Sultan Acheh itu telah di tolak oleh Sultan Agung Mataram. Sultan Iskandar Mahkota Alam tiada mempunyai putera melainkan puteri-puteri belaka, seorang di antara menantu baginda itu telah menggantikan baginda di atas takhta Kerajaan Acheh dengan gelaraSultan Iskandar Thani. Sesudah pemerintahan baginda itu,Acheh telah di perintah bergilir-gilir oleh empat orang raja perempuan. Pada zaman itulah pula Kerajaan Acheh beransur-ansur lemah hingga beberapa buah negeri yang takluk kepadanya melepaskan diri masing-masing.
3.0 Ciri-ciri Karya Agung : Hikayat Aceh

3.1 Isi dan Mesejyang hendak disampaikan

Terdapat beberapa isi dan mesej ataupun pemikiran yang cuba disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dalam hikayat ini. Antaranya ialah:

i. Memperlihatkan Kebesaran Raja.

Perkara ini dapat kita lihat dalam naskhah Hikayat ini yang menceritakan tentang kebesaran raja. Contohnya:

a) “...Maka berapa lamanya sampailah kepada sembilan bulan hamilnya itu maka dimasukkan Allah Ta’ala ke dalam hati puteri itu, suatu bicara: ‘ Jikalau beranak aku dalam negeri ini apa baik, kerana anakku daripada anak cucu raja yang maha besar... gemerlap. Maka hairan Raja Shah Muhammad Melihat dia. Maka disuruhnya kerat buluh itu dan disuruhnya belah. Maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala maka keluarlah dari dalam buluh itu seorang perempuan daripada ankbaludari, terlalu elok rupanya”.


b) “... maka ada Sultan Mansur Syah itu ayah Johan Berdaulat lagi kecil sekira-kira sepuluh tahun usia, maka disuruhkan ayahanda baginda Sultan mengaji kepada Fakih Khoja Manassih. Maka beberapa lamanya Sultan mengaji, maka dilihat Fakih Khoja Manassih pada muka Sultan Mansur Syah itu bercahaya laku hingga dada baginda”.

ii. Memperlihatkan Amalan-amalan yang Diamalkan.

Dalam hikayat ini terdapat beberapa amalan-amalan yang diamalkan pada zaman tersebut. Amalan-amalan yang diamalkan ini menunjukkan bahawa pada zaman tersebut amalan-amalan dijalankan adalah untuk tujuan tertentu. Contohnya:

a) “Maka datang pada malam jum’at anak baludari itu pun mandi kolam seperti ‘adatnya yang dahulu itu jua. Maka dihantarkan mereka itu baju kacukinya seorang suatu tempat. Maka turunlah mereka itu lagi dengan senda gurau mereka itu tatkala mandi dalam kolam”.

b) “Maka Raja ‘Inayat Syah pun menengarkan kata yang lemah lembut kabul berbesan dengan Raja Muzaffar Syah. Setelah beberapa kali datang antusan Raja Muzaffar Syah membawa hadiah daripada mata benda yang mulia-mulia akan Raja ‘Inayat Syah itu, tatkala didengar Raja Muzaffar Syah kabullah Raja ‘Inayat Syah menerima hadiah daripadanya itu,...”

iii. Memperlihatkan Keberanian Rakyat Ingkar Terhadap Sultan.

Di dalam hikayat ini juga pengarang cuba menunjukkan sikap rakyat yang berani menentang Sultan sekiranya perbuatan Sultan itu dianggap salah pada pandangan mereka. sebagai contoh :

“Maka seorang pun daripada hulubalang dan ra’yatSyahrDeli tiadalah mahu datang. Maka akan kata segala mereka itu sekalian: “maka tatkala tuan kita Sultan Ma’arif Syah mendatangi negeri Acheh Dar as-Salam itu tiada mahu Sultan Ahmad itu bersungguh-sungguhnmengalahkan negeri Acheh Dar as-Salam. Akan sekarang lawanlah oleh Sultan akan Sultan ‘Ali itu.” Maka segala hulubalang dan ra’yat masing-masing berlepas dirinya”.

iv. Memperlihatkan Kepakaran dan Kemahiran Rakyat.

Di dalam hikayat ini ada menceritakan tentang bagaimana rakyat pada zaman itu mencipta senjata untuk bermain perang. Secara tidak langsung, hal ini menunjukkan bahawa rakyat zaman dahulu merupakan seorang yang kreatif dan berdikari. Hal ini kerana, mereka mencipta sendiri segala peralatan yang ingin digunakan untuk tujuan tertentu. Contohnya:

“Pada malam ini tuan kami Pancagah hendak bermain berperang-perangan dengan segala anak hulubalang dan dengan segala kundangan dan segala kanak-kanak”.... Dan disuruh Pancagahperbuat akan senjata itu pohon nyiru dan pelepah pinang dan pelepah pisang, terlalu banyak dihimpunkan orang. Maka ujung senjata itu dibubuhi kapas berbalut dengan perca putih. Maka dibubuh kunyit dengan kapur. Maka merahlah lakunya.”

3.2 Nilai budaya

Budaya adalah suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sebuah kelompok orang dan diwariskan dari generasi ke generasi. Budaya terbentuk dari banyak unsur yang rumit, termasuk sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan dan karya seni.Budaya adalah suatu pola hidup menyeluruh.Budaya bersifat kompleks, abstrak, dan luas.Banyak aspek budaya turut menentukan perilaku komunikatif.Oleh itu, nilai-nilai budaya merupakan nilai-nilai yang disepakati dan tertanam dalam suatu masyarakat, lingkup organisasi, lingkungan masyarakat, yang menjadi kebiasaan, kepercayaan, simbol-simbol dan karakter tertentu yang membezakan sesuatu. Nilai budaya berkait rapat dengan cara hidup sekaligus menjadi falsafah atau pandangan sesuatu masyarakat.

Dalam Hikayat Aceh, terdapat beberapa nilai budaya yang wujud dalam ruang lingkup masyarakat ketika itu. Antaranya ialah:

i. Adat perkahwinan raja

Semasa perkahwinan kerabat istana raja akan dipakaikan pakaian yang indah-indah, dikenakan destar, badan digosok dengan bau-bauan, diarak di atas gajah, bunyi-bunyian dimainkan dan keraian diadakan. Hal ini dapat dilihat menerusi petikan di bawah,

“setelah sudah Sultan Mansur Syah memakai maka gajah akan kenaikan sultan akan berarak itupun diperhias oranglah dengan pelbagai perhiasan. Maka gajah itu digunamkan oranglah kepada ketumpakan.Maka Sultan Mansur Syah pun dinaikkan oranglah ke atas gajah ringga kelambu perak.Bahawa ada mengepalakan gajah itu Maharaja ad-Diraja anak Maharaja Lela Putih.Maka ada di punggung gajah yang memangku kampil itu Merah Saraf-Khan. Maka sultan pun beraraklah lingkar suri dengan pelbagai bunyi serta dengan orang mengucap selawat…”

(Halaman : 110)


ii. Adat menyambut tetamu.

Menurut budaya masyarakat yang terdapat dalam Hikayat Aceh, tetamu disambut dengan begitu meriah sekali.Tetamu dihormati dan dilayan seperti pasangan pengantin. Hal ini diperlihatkan melalui,

“..mereka itu bernama Raja Permaisuri dan seorang bernama Seri Dewi dan seorang bernama Seri Pebawa dan seorang bernama Seri Nana. Maka keempat mereka itu memakai seperti adat pakaian orang tua-tua.Maka keempat mereka itu bergajah ringga. Maka orang yang membawa sirih yang dalam kampil mas dan kampil suasa itu seekor gajah. Maka ada kampil itu di atas gajah diperhias dengan berulur permaidani.Maka di kepala gajah bertutup tafta bersuji berjala-jala.Maka yang memangku puan pengiring kampil itu pun naik ke atas gajah.Maka mereka itu pun berjalanlah.Maka beberapa daripada orang bergelang dan bersubang mengiringkan gajah itu. Maka tatkala sampailah telangkai itu kepada Syah Alam maka disuruh Syah Alam permulia akan telangkai itu. Maka didudukkan atas permaidani…”

(Halaman : 82)

iii. Gajah sebagai binatang peliharaan

Dalam Hikayat Aceh, masyarakatnya dilihat membela gajah sebagai binatang peliharaan. Gajah sangat disayangi oleh Pancagah dan dijadikan sebagai teman bermain ketika kecil.Gajah kesayangan Pancagah adalah yang jantan Raksyasya dan yang betina Dang Ambar Kesturi.Gajah-gajah itu dipakaikan alatan yang mahal-mahal.Usaha Syah Alam menyuruh orang membuat patung gajah daripada emas yang menyerupai Raksyasya tidakberjaya untuk ketiga kalinya.Gembala Dang Amabar Kesturi ialah Si Bulbul.Gajah ini sangat mengasihinya, sehingga membelanya jika di diserang.Dan jika gajah ini mendapat makanan dibahaginya dengan Si Bulbul.Kasih sayang antara manusia dan haiwan juga wujud dalam ikatan ini.

“… Dan beberapa daripada gajah yang kecil-kecil yang baik-baik paras akan permainan baginda itu; ada yang sejengkal gadingnya, ada yang sehasta gadingnya, ada yang setampak gadingnya, ada yang setunjuk gadingnya. Pertama-tama gajah itu Raksyasya dan Rawana dan Bitam Mutia dan Gangsar dan Mutia Sejemput dan Lela Genta dan Ceracap Cina…”

(Halaman : 136)

3.3 Pandangan Hidup

3.3.1 Definisi dan teori falsafah hidup

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010 : 406), falsafah didefinisikan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani philisophia, iaitu philo ertinya cinta dan Sophia ertinya hikmat (Mohd Rashid Md Idris, 2012:1).Cinta kepada ilmu dan kebenaran adalah falsafah.Hal ini bermaksud falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggidan bertujuan mendapatkan kebenaran.Tegasnya berfalsafah ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran tentang segala sesuatu yang dimasalahkan dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat (Mohd Rashid Md Idris et.al, 2013: 149).Falsfah menuntun seseorang mencari kebenaran dalam setiap masalah.Ertinya falsafah secara mudah dapat diinterprestasikan sebagai memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam.

Mana Sikana (1996), membahagikan bidang falsafah kepada enam jenis iaitu ilmu teologi, ilmu etika, ilmu estetika, ilmu mantik, ilmu metafizika dan ilmu kosmologi. Ilmuteologi berkisar tentang Tuhan dan hubungannya dengan manusia, sama ada berdasarkan kebenaran wahyu ataupun penyelidikan akal murni. Ilmu etika pula berkaitan dengan tingkah laku manusia yang dilihat dari sudut baik dan buruknya, sejauh yang dapat ditentukan akal.Ilmu estetika membahaskan tentang keindahan dan kesenian. Ruang lingkup estetika merangkumi hal-hal yang berkaitan dengan sedih dan lucu, yang bergaya dan yang mulia, bahkan yang buruk atau busuk pun dapat dikaitkan dengan keindahan yang relative. Manakala, ilmu mantik adalah ilmu berkata benar atau berfikir benar.Al- Farabi menyatakan ilmu yang mantik adalah ilmu yang memberi tenaga fikiran dan kemampuan membezakan sesuatu yang merupakan alat falsafah.Ilmu metafizika merupakan ilmu agama seperti kepercayaan tentang kewujudan Tuhan.Ilmu kosmologi pula mengkaji tentang hal-hal yang berhubung dengan alam.


3.3.2 Pandangan hidup dalam Hikayat Aceh


i. Mengagungkan dan mempercayai kebesaran Tuhan.


Hikayat Aceh memperlihatkan betapa Sultan Rum mempercayai tentang keesaan serta mengagungkan kebesaran Allah.Baginda percaya Allah mempunyai kuasa atas segalanya dan Allah mengutuskan nabi kepada umat manusia untuk kesejahteraan serta menegakkan agama-Nya. Hal ini dapat dilihat menerusi kata-kata baginda,

“Maka pada zaman kita sekarang ini pun ada jua dijadikan Allah Ta’ala dua orang raja yang amat besar dalam alam dunia ini.Maka yang dari pihak maghrib kitalah raja yang besar dan dari pihak masyrik itu Seri Sultan Perkasa Alam raja yang besar dan raja yang mengeraskan agama Allah dan agama Rasul Allah.”

(Halaman : 237)

ii. Sumber alam mempunyai kepentingan kepada manusia

Dalam Hikayat ini, diperlihatkan mengenai kegunaan atau kepentingan alam kepada manusia.Sumber alam yang berada di sekeliling misalnya tanah, pokok, galian minyak dan sebagainya memberikan faedah kepada manusia. Hal ini dapat dilihat menerusi,

“ …galian mas yang merah yang sepuluh mutu dan tanah cempaga kudrati yang netiasa mengalir di atas bukit galian itu dan beberapa daripada kolam minyak tanah kudrat yang tiada lagi berkurang minyaknya…”

(Halaman : 231)

iii. Pemerintah mempunyai kuasa yang hebat

Hikayat Aceh juga menceritakan tentang keperkasaan dan kekuatan pemerintah. Hal-hal yang tidak mampu diselesaikan oleh rakyat, jika pemerintah masuk campur, pastinya hal tersebut akan segera selesai. Ini menunjukkan masyarakat memandang pemerintah sebagai seorang yang mempunyai kuasa yang hebat atau luar biasa. Hal ini ditunjukkan melalui peristiwa Perkasa Alam mendengar terdapat seekor kerbau yang buas di Lam Anal sehinggakan menyebabkan beberapa orang mati ketika cuba membunuhnya. Lalu, Perkasa Alam mencari kerbau tersebut dan berjaya membunuhnya.

“Maka tatkala sampailah umur Abangta Raja Munawwar Syah yang bertimang-timangan Perkasa Alam itu dua belas tahun, maka pada suatu hari dikhabarkan orang pada Perkasa Alam. “Tuanku, ada seekor kerbau di Lam Anal terlalu sekali buas dan nakal dan amat berani. Jikalau ia melihat manusia tiada ia mau lari. Beberapa orang mati dan luka dan patah diterkuknya…”

(Halaman : 186)

3.4 Nilai Ilmu

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Menurut Mohd Rashid Idris, et al. (2014),nilai juga diistilahkan sebagai ‘al-qimah’ dalam dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai.Nilai membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah.

Takrifan ilmu menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) pula bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Menurut Mohd Rashid Idris, Abd. Rahman Napiah & Seri Lanang Jaya Rohani (2014),antara fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan ialah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandung pelbagai kemusykilan dan lain-lain. Menurutnya lagi, antara contoh ilmu yang terdapat dalam karya agung ialah ilmu perdukunan, ilmu firasat, ilmu jampi, ilmu pengasih dan lain-lain.

Nilai ilmu yang terdapat dalam hikayat Aceh pula termasuklah ilmu firasat, ilmu peperangan dan lain-lain.Nilai ilmu dalam hikayat Aceh boleh dilihat melalui tiga aspek iaitu melalui sudut pemerintahan, penduduk dan lain-lain. Berdasarkan hikayat Aceh, kita dapat mengetahui akan kepakaran masyarakat dahulu dalam menangani masalah harian dan cara sosioekonomi mereka bagi menjamin kelangsungan hidup dan tujuan- tujuan lain.

3.4.1 Nilai Ilmu dalam Hikayat Aceh

i. Ilmu Peperangan (Aspek Pemerintahan)

Berdasarkan hikayat ini, nilai ilmu dapat dilihat dalam aspek pemerintahan. Pemerintahan yang berada dalam pemerintahan Sultan Iskandar Muda pada tahun 1608 hingga 1637 misalnya menunjukkan berlakunya perluasan kuasa oleh kerajaan Acheh di Ibu Kota misalnya Ibu Kota Kutaraja, Melaka, Johor, Belanda dan Banten. Hal tersebut boleh dilihat melalui peta di bawah.



Menurut Denys Lombard (1986), di bawah pemerintahan Iskandar , Aceh tidak lagi meminta bantuan daripada negara asing. Orang Aceh juga tidak lagi menyerahkan kepada orang asing tugas polisi di Samudera atas nama mereka. Angkatan perang Aceh. Aceh kerajaan yang paling kuat dari tetangganya di laut”, kata Beaulieu..

Melalui hikayat Aceh diceritakan tentang ilmu peperangan.Denys Lombard (1986) menghuraikan tentang 6 perkara berkaitan angkatan bersenjata kerajaan Aceh. Antaranya ialah berkaitan Armada, gajah, kuda, angkatan darat, pasukan meriam dan teknik pengepungan kota.

ARMADA

Di ketiga pelabuhan perang utama di Aceh, Daya dan Pidir berlindung kira-kira seratus galias besar yang semuanya siap berlayar, dan Beaulieu dengan tegas mengaku rasa kagumnya:

“Sepertiganya besar tanpa tanding dibandingkan dengan galias yang manapun yang pernah dibangun di dunia Kristen”

Ada salah satu dari kapal terbesar armada Aceh yang mencapai kemasyhuran yang istimewa sekali.Kapal itulah yang dikirim melawan Melaka pada bulan Julai 1629. Petikan di bawah ini menjelaskan tentang armada tersebut :

“ Dalam kepanjangannya( kira-kira 36 m.) dan terbuat utuh ; mereka pandai sekali membuat galias dan kapal itu bagus-bagus tetapi terlalu berat karena terlalu panjang dan terlalu tinggi : selain itu kayu-kayu lintangnya terlalu kecil dan lemah dibandingkan dengan gading-gadingnya. Lagi pun dayung-dayungnya tidak panjang dan tidak berat, hanya berupa galah yang dihujungnya ada sepotong papan dan tidak berat….”

Berdasarkan petikan ini kita dapat mengetahui tentang ciri fizikal kapal atau armada pada zaman tersebut. Selain itu, juga diterangkan berkenaan kelengkapan perang yang terdapat di dalam armada seperti petikan berikut:

“Setiap galias diperlengkapi tiga meriam yang ampuh dengan 40 pon peluru, tidak termasuk lela-lela” yang mereka pasang di bahu atau di pinggang”.Setiap kapal mempunyai awak sekurang-kurangnya 600 orang; awak pada kapal-kapal yang paling besar sampai 800 orang.”

GAJAH

Menurut Denys Lombard (1986) , di daratan kekuatan Aceh yang utama ialah gajahnya. Binatang itu keadaan liar di pedalaman senang ditangkap dan dibawa ke kota. Pada zaman itu, sumber ini sangat berharga dan orang Aceh pandai memanfaatkannya dengan baik.Dalam Hikayat Aceh gajah turut terlibat dengan perang.Berdasarkan petikan di bawah kita dapat melihat bahawa gajah merupakan salah satu angkatan perang kerajaan Aceh.

“… Syah ‘Alam menitahkan Haria Bija ad-Diraja membawa gajah perang lima puluh ekor dengan beluhannya dari darat.Maka Haria Bija ad-Diraja itu pun berjalanlah membawa gajah ke Ghori.”(Hikayat Aceh :105)

KUDA

Denys Lombard (1986) juga menjelaskan bahawa ,bagi orang Aceh dan terutamanya bagi Sultan Iskandar Muda menjadi penunggang kuda yang baik merupakan soal kehormatan. Menurutnya lagi, waktu Beaulieu singgah di Aceh, jumlah kuda yang dihitungnya ada 200 ekor ‘yang 50 di antaranya di Perancis pasti berharga lebih dari 500 ecu; sisanya tak banyak artinya’.Kuda itu hampir semuanya digunakan untuk melengkapi keperluan sebagai tunggangan anggota tentera.

ANGKATAN DARAT

MenurutDenys Lombard (1986) “tercatatlah kata Beaulieu bahawa dari Aceh dan tanah-tanah sekitarnya di dalam lembah dapat dikerahkan 40,000 lelaki”. Apabila raja hendak melancarkan perang, ia tidak mengeluarkan biaya sama sekali. Hal ini demikian kerana semua hambanya tanpa kecuali wajib berbaris secepat mungkin apabila diperintahkan atas biaya sendiri dengan membawa makanan untuk 3 bulan”. Bealieu amat tercengang dengan cara wajib ketenteraan yang tak dikenali di Eropah pada zaman itu. Menurutnya lagi Sultan dengan hati-hati menyimpan senjata dan peluru senjata api bagi mengelak terjadi pemberontakan.

Melalui kenyataan tersebut kita dapat mengetahui cara pemerintahan Sultan ke atas rakyatnya tentang kerahan ketenteraan.

PASUKAN MERIAM

Pasukan Meriam juga merupakan salah satu kekuatan angkatan perang Aceh. Petikan tersebut menjelaskan bahawa meriam merupakan salah satu senjata perang yang ada pada zaman tersebut:

“Maka beberapa daripada bedil meriam dan lela dan cecorong dan ispinggar. Maka ada kelengkapan ghurab istana yang bernama Mir’at as-Safa itu ada dalamnya bedil meriam sepuluh pucuk dan lela Pertugali lima puluh pucuk dan cecorong seratus dua puluh pucuk dan bedil ispinggar dan beberapa busur tiadalah kami sebutkan bilangannya” (Hikayat Aceh :106)

MenurutDenys Lombard (1986), meriam merupakan salah sebuah “pemberian” yang paling disukai oleh Sultan.

TEKNIK PENGEPUNGAN KOTA

Denys Lombard (1986) menjelaskan bahawa orang Aceh terkenal mahir sekali dalam merongrong dan masuk parit.Mereka dengan asyik dan rajin menggali tanah.Menurutnya lagi, orang Belanda menjadi penasihat Aceh…; mereka memberi nasihat dalam hal membuat parit dan pertahanan menurut contoh di Negeri Belanda dan di Perancis.

ii. Ilmu Pertukangan Emas dan Besi (Penduduk)

Menurut Pisol Maidin (2003), tukang adalah gelaran umum kepada ahli teknologi Melayu. Dalam teknologi perkapalan, terdapat gelaran yang khusus untuk membezakan pengkhususan yang dipunyai mereka yang terlibat membuat kapal, termasuk gelaran tukang timbal.Gelaran ini juga terdapat dalam pertukangan besi. Mereka yang pandai bertukang besi dikenali dengan nama pandai besi. Di kepulauan Sulu, tukang perahu dipanggil panday. Walaupun istilah tukang timbal tidak terdapat dalam kamus Melayu, tetapi ia diketahui orang ramai di Terengganu sebagai tukang yang membina perahu bersaiz besar.

Dalam Hikayat Aceh pula ada diceritakan tentang pengrajin logam dan pandai emas. Hal ini dapat dilihat melalui petikan berikut :

“Sesudah nelayan, pengrajin; dan pertama-tama pengrajin logam. Ada pandai besi, baik yang berat maupun yang berupa pisau, keris, mata lembing dan senjata lainnya ….”

(Denys Lombard, 1986 :65)

“… pandai emas sangat banyak dan terampil…”

(Denys Lombard, 1986 :65)

Berdasarkan petikan di atas menunjukkan bahawa masyarakat Aceh pandai dalam ilmu pertukangan dan pelbagai ciptaan telah berjaya dihasilkan seperti pisau, mata lembing, meriam dan lain-lain.Begitu juga dengan ilmu pertukangan emas. Kepakaran masyarakat Aceh dalam ilmu pertukangan emas digambarkan dalam petikan seperti berikut:

“…dijadikan kalung dan rantai jamrud yang besar-besar,..baju sesuai dengan gayanya penuh sulaman permata, dan juga berbagai hasil kepandaian besi seperti bejana emas yang besar-besar… banyak-banyak pedang,golok dan pisau belati….” (Denys Lombard, 1986 :65)

Masyarakat Aceh digambarkan sebagai masyarakat yang pandai dalam ilmu pertukangan emas dan besi.


iii. Ilmu firasat (Lain-lain)


Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka( badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan orang lain. Hikayat Aceh juga terkandung kisah mengenai ilmu firasat. Berdasarkan Hadis Riwayat At Tarmizi pula ilmu firasat ialah perasaan atau gerakan hati yang benar atau tepat kerana mendapat pimpinan dari Allah. Sabda Rasulullah:

“Takutlah olehmu firasat orang mukmin kerana ia memandang

dengan cahaya Allah.”


Dalam dunia Melayu, pelbagai ilmu firasat yang cuba diketengahkan oleh masyarakat dahulu. Contohnya, jika burung hantu berbunyi, itu tandanya ada kematian pada waktu yang terdekat. Masyarakat Melayu menjadikan perkara-perkara sebegini sebagai satu sandaran ataupun petanda dalam hidup mereka. Tambahan pula, kebanyakan petanda-petanda ini sering menjadi kenyataan. Keadaan inilah yang menjadikan kepercayaan mereka terhadap ilmu firasat ini menjadi semakin kuat walaupun adakalanya itu hanyalah satu kebetulan.

Menurut Teuku Iskandar(2001), dalam Hikayat Aceh, guru Sultan Mansur Syah melihat pada muridnya cahaya dari muka hingga sampai ke dada. Hal ini berkaitan cahaya dan mimpi sebagai petanda akan lahir raja yang besar. Hal ini dapat dilihat melalui petikan dalam Hikayat Aceh seperti di bawah :

“Diceritakan ketika Mansur Syah berumur sepuluh tahun dia pernah mengaji kepada Fakih Khoja Manassih.Fakih ini pada suatu ketika melihat cahaya pada mukanya sehingga ke dada. Fakih berfikir dalam hatinya bahawa putera ini akan mendapat kebahagiaan. Pada ketika lain Mansur Syah bermimpi membuang air seni di atas kota biram yang bernama Buruj. Seluruh negeri dibanjiri dan menjadi laut.Gurunya memberitahu erti mimpinya, bahawa dia akan mendapat anak yang akan menjadi raja yang besar.” (Hikayat Aceh : hlm.113)

Berdasarkan petikan ini, kita dapat mengetahui bahawa apabila cahaya dilihat dari muka hingga ke dada menandakan akan mendapat kebahagiaan atau berita gembira. Manakala, mimpi membuang air seni di atas kota biram yang bernama Buruj. Kemudian seluruh negeri dibanjiri dan menjadi laut pula menurut bijak pandai zaman dahulu menandakan bahawa akan beroleh anak yang akan menjadi raja yang disanjungi dan dihormati oleh rakyat. Melalui petikan ini, dapat dilihat bahawa adanya ilmu firasat diceritakan dalam hikayat Aceh. Contoh lain berkaitan ilmu firasat adalah seperti dalam petikan di bawah :

Di Acheh, waktu Pencagah atau Iskandar Muda Mahkota Alam dalam kandungan, ibunya bermimpi bersanggulkan bulan yang dihiasi buang air kecil yang terlalu banyak sehingga menjadi laut. Dalam mentafsir mimpi itu, Fakih Khoja Manassiah berpendapat :

“Tuanku, adapun takbir mimpi sultan itu Insya-Allah taala (tak dapat) tiadalah daripada zuriat sultan menjadi raja yang maha kuasa lagi terlalu besar gahnya lagi mengempukkan segala raja-raja daripada segala pihak Timur dan daripada segala pihak Barat. Dan paduka anakanda itulah melimpahkan takhta adilnya dan ialah matahari yang betak (tetap) di bumi musyrik ini”

(Hikayat Aceh : 48)

Berdasarkan petikan kita mengetahui bahawa mimpi seumpama itu membawa perkhabaran yang baik terhadap sesuatu. Dalam petikan di atas, mimpi tersebut menandakan anak yang bakal dilahirkan mempunyai masa depan yang baik. Contoh lain berkaitan ilmu firasat dalam Hikayat Aceh ialah seperti dalam petikan di bawah :

“… Maka berhikayat Syarif al-Muluk kepadanya , “Bahawa pada mala mini hamba bermimpi; yang mimpi hamba itu terlalu ‘ajaib lakunya daripada Rabbi’l-‘alamin hendak menunjukkan kebesaran-Nya kepada seorang hamba-Nya mu’min, maka dinyatakan-Nya pada mimpinya.Hai Seri Raja Khatib, bahawa hamba lihat dalam mimpi hamba, bahawa tuan kita Abangta Raja Munawwar Syah bertimang-timangan Johan ‘Alam, cucu Syah ‘Alam itu datang kepada baginda itu seekor kerbau lagi dengan mengucap zikir Allah serta tertari-tari dan terkulai-kulai dan menundukkan kepalanya selaku-laku hendak menyunjung duli Johan ‘Alam itu.”

Mimpi tersebut membawa maksud bahawa Johan ‘Alam ini dijadikan Allah Subhanahu wa Ta’ala kerajaan masyrik magrib.

3.5 Teknik kepengarangan

Teknik dalam Kamus Dewan Edisi Keempat(2010), dapat didefinisikan sebagai pengetahuan yang berkaitan dengan pembuatan barang-barang hasil industri seperti jentera, kenderaan, bangunan dan lain-lain atau kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan lain-lain. Menurut Edward M. Anthony dalam Fowzi Boman(2011), teknik dapat didefinisi sebagai satu muslihat atau strategi atau teknik yang digunakan guru yang mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian tertentu. Mengikut Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam Fowzi Boman(2011) lagi, teknik merupakan pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjag di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. Oleh itu, teknik merupakan satu cara yang digunakan oleh pengkaji untuk menyampaikan hasil-hasilnya kepada audience.

Kepengarangan dalam Kamus Dewan edisi keempat (2010) dapat didefinisikan sebagai perihal yang berkaitan dengan pengarang. Kepengarangan mengikut Foucault dalam Pengarang dan Kepengarangan Zaharah Nawawi, dalam tradisi sastera cetak adalah tidak sama dengan konsep mengarang dan kepengarangan dalam tradisi manuskrip sama ada di Eropah mahu pun dunia Melayu. Oleh itu kepengarangan ialah hal-hal yang berkaitan dengan pengkaji termasuklah pengalaman yang terdapat dalam pengarang tersebut.

Maka, teknik kepengarangan dapat didefinisi sebagai cara-cara yang digunakan oleh pengarang termasuklah berkaitan dengan pengalaman-pengalamannya dalam mengolah sesuatu karya, hikayat dan sebagainya.

KEBIJAKSANAAN MENYAMPAIKAN CERITA

Jika dilihat dalam Hikayat Aceh, pengarang dapat dilihat sebagai seorang yang intelek kerana pengarang dapat mengulas salasilah keluarga diraja berdasarkan mitos asal usul raja-raja Aceh.Sebagai contohnya, pengarang mengulas tentang perkahwinan yang berlaku diantara raja-raja Aceh.Hal ini dapat dilihat dalam perkahwinan antara Raja Syah Muhammad yang berkahwin dengan Tuan Puteri Dewi Indera yang berasal daripada buluh betung.Dan mereka dikurniakan dengan dua orang anak iaitu Sultan Ibrahim Syah dan juga Puteri Sapiah. Hal ini dapat dibuktikan dengan terdapat petikan berikut:

“…Maka hairan Raja Syah Muhammad melihat dia. Maka disuruhnya kerat buluh itu dan disuruhnya belah. Maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala maka keluarlah dari dalam buluh itu seorang perempuan daripada baludari, terlalu elok rupanya. Maka ada mukanya seperti bulan purnama dan lakunya tiada sebagainya. Maka Raja Syah Muhammad pun terlalu sukacita…”

(Hikayat Aceh (2001:1)

“Maka pada suatu hari daripada hari Khamis maka Raja Syah Muhammad pun nikahlah dengan Tuan Puteri Dewi Indera yang keinderaan itu. Maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala, berapa lamanya maka Raja Syah Muhammad itu beranak dua orang, seorang laki-laki bernama Sultan Ibrahim Syah dan seorang perempuan bernama Puteri Sapiah.”

( Hikayat Aceh (2001:4))

Selain itu, perkahwinan antara Raja Syah Mahmud dengan Tuan Puteri Medini Candera yang berasal daripada kayangan dan mereka juga dikurniakan dengan dua orang anak iaitu Raja Sulaiman dan Puteri Arkiah.

“Maka tatkala dilihata ayah bonda raja itu tuan puteri dara yang keinderaan itu datang maka ayah bonda raja itu pun terlalu sukacita. Maka Sultan Munawwar Syah pun mengucap syukur akan Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana melihat kedua anak baginda beroleh puteri keinderaan. Maka sultan pun……… Maka pada suatu hari Isnain Raja Syah Mahmud pun nikah dengan Tuan Puteri Medini Candera itu. Maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala berapa lamanya maka tuan puteri itu pun beranak dua orang, seorang laki-laki bernama Raja Sulaiman Syah dan seorang perempuan bernama Puteri Arkiah.”

(Hikayat Aceh (2001:6-7)

Selain itu, pengarang juga dilihat sebagai seorang yang berupaya melukis sesebuah watak dengan hidup iaitu pengarang mahir dalam mengulas suasana berlangsungan pernikahan antara Sultan Mansur Syah dengan Puteri Raja Indera Bangsa. Pengarang telah mengambarkan dengan terperinci tentang cara pemakaian baginda berdua. Contoh petikan seperti berikut:

“Kata yang berceritera: Maka tatkala Sultan Mansur Syah memakai itu maka Puteri Raja Indera Bangsa pun diperhias oranglah di hadapan Yang Dipertuan, berkain warna unggu bersuji larat bertepi mutia dikarang bersirat tenunan | Istambuli berjala-jala mas diutus bercucuk mutia berselang-selang dengan biram, berbaju kesumba murup, berkancing merak mengigal, bermasri mas bepermata, bergelang biram bergenta dan gelang berkancing delima melekah dan gelang bermuka tempa Sailani bepermata pudi campur baur…..buah putat biram bergenta.”

(Hikayat Aceh (2001:46)

Pengarang juga telah mengulas suasana tentang berlangsungnya pernikahan tersebut dengan jelas dan terperinci.Segala gambaran tentang orang- perseorangan juga pengarang telah mengambarkan dengan jelas. Sebagai buktinya:

“ Maka apakala kedengaranlah bunyi gendering dan selawat itu, maka Syah ‘Alam pun bersabda menyuruh alu-alukan dengan beberapa ratus puan sirih yang beperhiasan. Maka bertemulah [dengan]orang yang mengalu-ngalu itu dengan orang yang mengiringkan sultan itu. Maka diberinya sekalian makan sirih. Maka tatkala sampailah sultan itu ke halaman istana, maka digunamkanlah gajah itu oleh Maharaja ad- Diraja kepada ketumpakan itu. Maka berlarilah segala orang muda-muda menyambuti sultan itu serta mengabur beras kuning bercampur mas guntingan dan mutiara dan dinar. Maka, sultan itu pun disambuti oranglah …”

(Hikayat Aceh (2001: 47)

Terdapat juga pengaruh Islam dalam Hikayat Aceh ini.Pengarang mengutarakan tentang kebesaraan Tuhan.Sebagai contohnya, dengan takdir tuhan, maka, terjadilah sesuatu perkara seperti kejadian Perkasa Alam membunuh kerbau. Sebagai contohnya:

“…maka kata Perkasa ‘Alam, “Jika demikian kamu berilah aku pergi seorang diriku. Dengan kurniaan Allah Ta’ala akulah memunuh kerbau itu.”…Syahdan maka diambil Perkasa ‘Alam lembing bernama Harungan Darat sebilah dan bernama Mandura sebilah. Maka Perkasa ‘Alam pun pergilah kepada tempat kerbau itu serta bersikap menyingsing tangan baju. Apabila kerbau itu melihat orang banyak datang, maka ia pun tiada mau bergerak daripada tempatnya dan tiada mau lari. Maka dengan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka ditikam Perkasa ‘Alam kerbau itu serta mengucap : Bismillah ar-Rahman ar-Rahim.” Maka kena kerbau itu antara lembungnya lalu menderus. Maka rebahlah kerbau itu terdangkur-dangkur…”


(Hikayat Aceh (2001:78)

Pengarang juga seorang yang kreatif dan berseni.Hal ini demikian kerana pengarang berupaya untuk menampilkan segala kisah atau gambaran sesuatu peristiwa dengan nyata dan jelas sehingga dapat memberikan gambaran suasana pada masa itu kepada masyarakat pada masa ini. Terdapat pelbagai persepsi yang akan diberikan oleh masyarakat selepas membaca peristiwa tersebut. Antaranya ialah peristiwa Tuan Puteri Raja Indera Bangsa ingin melahirkan puteranya.Cara olahan pengarang dapat memberikan gambaran yang agak jelas iaitu semasa puteri mengerang kesakitan yang teramat sangat. Hal ini dapat dibuktikan dengan petikan seperti berikut:

“ … Maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala genaplah bulannya maka tuan puteri pun hendak berputera, maka tuan puteri pun keluh-kesah pada waktu maghrib itu. Maka yang Dipertuan itu pun segera menyuruh orang menghiasi istana dan memasang kandil mas dan suasa dan beberapa daripada …”

(Hikayat Aceh (2001:50)

PENGGUNAAN TEKNIK DIALOG DALAM PENCERITAAN

Pengarang juga menggunakan teknik dialog dalam Hikayat Aceh ini iaitu dialog diantara Syah ‘Alam dengan antusan. Sebagai buktinya:

“… “Apa kehendak sultan Pertugal menyuruhkan kamu berdua ini kepadaku?”Maka sembah Dong Dawis dan Dong Tumis, antusan yang kedua itu, “Tuanku, kami dititahkan saudara tuanku mengadap Duli Hadirat Tuanku ini, bahawa dari tuanku hendak memohonkan Kota Biram yang di tepi laut itu.”…”

(Hikayat Aceh (2001: 68)

3.6 Seni Bahasa

Bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan. Sastera tidak akan hidup tanpa bahasa. Bahasa sastera pula akan hambar tanpa sentuhan seni yang efisien. Dalam medium penerbitan, terdapat banyak karya sastera yang hadir dengan sentuhan bahasa yang baik. Namun begitu, karya tersebut seakan-akan kaku tanpa suntikan seni. Seni dalam sastera umpama tablet yang akan memberikan kepuasan kepada pembaca. Jika tablet seninya terlebih dos, sasteranya akan kabur dan mungkin akan hilang terus. Hal inilah yang akan menjauhkan sastera daripada khalayak. Sebaik-baiknya, seni dalam sastera harus dikawal supaya tidak terlebih atau terkurang,Nimoiz T.Y (2012).

Dalam karya sastera, penulis menggunakan unsur metafora, simile, anafora dan banyak lagi sebagai ganti ungkapan langsung.Di situlah letaknya keunikan karya sastera.Yang paling penting, karya sastera memerlukan sentuhan kreativiti yang tersendiri.Oleh itu, tidak hairanlah apabila karya puisi merupakan karya yang penuh dengan bahasa berseni yang indah, sesuai dengan peniruan alam seperti definisi seni oleh Plato.

3.6.1 Teknik Pemerengganan

Perenggan adalah unit karangan yang mengandungi beberapa ayat, yang antara satu dan lain mempunyai hubungan dari segi makna dan tatabahasa. Teknik pemerengganan terdiri daripada teknik penyenaraian, teknik percontohan, teknik perbandingan, teknik pentakrifan, teknik kontras masa, teknik falsafah, teknik pengkelasan, teknik soalan-jawapan, teknik jawapan-soalan, teknik soalan-jawapan-soalan, teknik analogi dan teknik urutan ruang.

i. Teknik Soalan Jawapan

Teknik soalan jawapan merupakan teknik pemerengganan yang menyatakan soalan terlebih dahulu dan diikuti oleh jawapan.

Contohnya:

Maka kata mereka itu, “Apa bicara kita?” Maka sahut mereka itu, “Jika sehati tuan perdana menteri dengan kami, marilah kami bawa atap seorang seberkas.

(Halaman: 29, Baris: 21)


ii. Teknik Percontohan

Benda (sebahagian benda-benda) yang sifat-sifatnya (rupa, macam, keadaan) sama dengan semua benda daripada jenisnya, benda yg dapat mewakili benda lain kerana sama sifat­-sifatnya.

... mendudukkan perjagaan dengan segala pelbagai bunyi-bunyian daripada genderang dan gong dan dap dan harbab dan dandi dan kecapi dan bangsi,...

(Halaman: 45, Baris: 4)


3.6.2 Retorik


Etimologi perkataan retorik adalah daripada perkataan rethor (Greek)- pemidato; rhetorike (Yunani) – seni berpidato; rhetorique (Perancis); dan rhetorike (Jerman) – rhetoric (Inggeris). Retorik Melayu klasik pula seperti peribahasa, pantun syair, gurindam dan sebagainya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1326), mendefinisikan retorik sebagai teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan. Retorik juga merupakan satu seni gaya penulisan secara berkesan yang bertujuan untuk mempengaruhi khalayak iaitu individu yang berada di persekitarannya. (Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris, 2010:1).

Menurut Gorys Kerf dalam Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani (2014: 191) menyatakan istilah secara tradisional diberikan pad acara pemakaian bahasa sebagai seni didasarkan pada pengetahuan yang tersusun baik. Plato pula dalam bukunya Pheadrus dalam Mohd Rashid Md Idris, Abd.Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani (2014: 191) mendefinisikan retorik sebagai wacana yang rasional dan diletakkan sebagai seni yang digunakan secara meluas dalam aktiviti pidato yang merupakan satu-satunya saluran penyampaian idea, fikiran dan maklumat.Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris (2010: 23) dalam Ilmu Balaghah Melayu menyatakan bahawa keutamaan diberikan kepada susunan idea dan penggunaan bahasa yang baik dan tersusun.Hal ini kerana sekiranya ungkapan yang dilontarkan tidak mempunyai sebarang idea maka timbullah ungkapan retorik kosong.


Ringkasnya, retorik merupakan seni penggunaan atau pemakaian bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar dan pembaca.kemampuan penulis menggarap isi dan mesej penulisannya terletak kepada input-input bahasa, pengalaman, maklumat, pemikiran serta kemahiran menulis yang dimilikinya. Kesemua elemen ini akan dirangkumkan dalam perenggan-perenggan penulisan. Kesannya, pembaca akan dapat memahami dan menghayati apa yang hendak disampaikan oleh penulis sekali gus memberikan kesan yang mendalam kepada emosi dan tindakan pembaca.

Menurut Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012) menyatakan retorik terbahagi kepada enam iaitu pemerian, penceritaan, penerangan, pendedahan, penghujahan dan pemujukan. Walau bagaimanapun, dalam Hikayat Aceh, terdapat hanya beberapa jenis retorik yang dikenal pasti iaitu:-

i. Pemerian

Penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea.Bertujuan untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar.

Contohnya:

Maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta,la maka datanglah kepada hari perjanjian akan nikah itu. Maka sultan memanggil segala hulubalang yang besar-besar dan segala ceteria dan anak segala hulubalang muda-muda dan menghimpunkan segala gajah dan kuda.

(Halaman: 45, Baris: 15)

Penulis telah menggunakan teknik pemerian seperti di atas tentang apa-apa yang telah terjadi dengan memberikan fakta tentang apabila adanya sesuatu adat istiadat di istana. Hal ini dapat diperjelas tentang adat pernikahan yang berlaku dalam kalangan kerabat diraja.

ii. Penerangan

Penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain. Berfungsi untuk memberi penjelasan tentang sesuatu perkara dengan lebih terperinci dan tersusun.


Setelah musta’idlah segala bawaan mereka itu, maka mereka itu pun naiklah ke atas gajah ringga yang berulurkan kamarda(i)n; maka tutup kepala gajah itu daripada seresari yang berjala-jala dan beberapa ekor daripada gajah ringga yang lain.

(Halaman: 43, Baris: 18)


3.6.3 Stilistik (Gaya Bahasa)

Menurut Hashim Awang dalam Abu Hassan dan Mohd Rashid Md Idris (2012), gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu pengarang, fikiran dan tujuannya.

Strategi skema merupakan penyimpangan atau perubahan dari segi bentuk ayat atau susunan perkataan.

i. Skema Perulangan

ANAFORA

Anafora merupakan pengulangan perkataan yang sama pada permulaan klausa. Dalam Hikayat Aceh terdapat banyak perulangan perkataan maka pada setiap permulaan ayat. Hal ini dapat dilihat dalam ayat dibawah:

Maka berhentilah peperangan mereka itu seperti sabda sultan itu. Maka pada suatu malam maka dilihat segala hulubalang Aceh akan segala hulubalang Syahr Deli itu tertidur dan segala kawalnya pun lalailah. Maka disuruh sultan sergap pada ketika itu. Maka beberapa terbunuh dan luka daripada orang Syahr Deli, lalu pecah perang mereka itu dan cerai-berailah segala ra’yat Syahr Deli itu datang hingga serokan Gunung Perawis. Maka Sultan ‘Ali pun kembali(la)h ke Aceh dengan beroleh kemenangan dan beberapa daripada hulubalang Syahr Deli tertangkap oleh hulubalang Aceh.

(Halaman: 13, baris: 26)

Maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala pergi ia kepada suatu tempat bernama Dar al-‘Isyki mengatakan dirinya bermain. Maka pada tempat itulah ia musyawarat dengan segala hulubalangnya.

(Halaman:16-17, Baris:40)


ASONANSI

Asonansi merupakan pengulangan bunyi vokal a, e. i, o dan u yang sama dalam suku kata yang diberi.Seperti yang terdapat dalam petikan dalam buku Hikayat Aceh terdapat banyak pengulangan huruf vokal dalam setiap suku kata.

Contohnya:

Maka adalah kapal itu pada sebuah dua puluh pucuk bedil meriam dan lela Pertugali seratus pucuk dan cecorong dua ratus pucuk dan beberapa daripada ispinggar dan busur Perasi dan hukka dan sikin. (Halaman: 106, Baris: 1)


ALITERASI

Pengulangan konsonan pertama atau pertengahan dalam dua atau lebih kata kata yang bersebelahan pula dikenali sebagai aliterasi. Pengulangan huruf konsonan adalah seperti yang berikut:

Apabila | sampailah antusan itu ke Ujung Tanah, maka terdengar Raja Besar khabar antusan dari Aceh Dar as-Salam datang, maka ia memeri titah kepada seorang hulubalang yang bernama Tun Bijaya Pekerma mengalu-ngalu antuasan itu serta dengan diberinya hormat dan dengan membawa perjamuan daripada Raja Besar.

(Halaman: 21, Baris: 8)

PARALELISME

Gaya ini mensejajarkan beberapa ayat yang berpola sama. Ini dapat dilihat dalam (Halaman: 107, Baris:7) yang menyatakan berkaitan dengan pakaian seperti yang terlihat dalam ayat dibawah:

Maka dikurniai Syah ‘Alam dan Sultan Mansur Syah itu daripada kullah (songkok) dan kamar (tali lilit dipinggang) dan puntu (pontoh) bernaga dan daripada pakaian baju yang keemasan dan daripada tarkasy mas dan busur yang berkelah mas dan beberapa daripada payung pakaian dan beberapa daripada unggul-unggul dan beberapa daripada mitar yang memakai pakaian Rumi dan beberapa daripada ra’yat pedang perisai dan beberapa daripada ra’yat yang menjabat busur dan pendahan.

EPISTROP

Pengulangan perkataan yang sama pada akhir klausa yang berturutan dikenali sebagai epistrop. Pengulangan pada klausa akhir dapat dikal pasti berada dalam penulisan Hikayat Aceh seperti kata itu.

Contohnya:

Syahdan pada ketika itu juga dititahkan Syah ‘Alam mengikut raja Johor itu. Maka pergilah segala hulubalang dengan ra’yat mengikut raja Johor itu. Hingga tiga hari tiga malam perjalanan maka bertemu dengan raja Johoritu, dilanggar orang Aceh maka cerai-berai.

(Halaman: 108-109, Baris: 37)

POLISINDETON

Polisindeton merupakan pengulangan kata hubung. Dalam Hikayat Aceh terdapat banyak pengulangan kata hubung yang sama iaitu dan seperti petikan di bawah.

Pancagah megerak gajah menta dengan berdiri tatkala gajah itu lari pantas, dan memacu kuda seraya tinggung dan menyentakkan kaki ke lambung kuda kanan dan ke lambung kuda kiri dan belayamkan pedang ke kanan dan ke kiri dan mengikat destar tatkala kuda legat berlari.

(Halaman:88, Baris:1)


4.0 Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa Hikayat Aceh merupakan salah satu karya agung Melayu. Hikayat Aceh adalah hikayat yang mengisahkan penguasaan Aceh di bawah Iskandar Muda dan dipercayai mula dikarang selepas penabalan Iskandar Muda iaitu 1607 dan sebelum akhir abad ke-17. Isi dan mesej yang cuba disampaikan oleh pengarang melalui Hikayat Aceh ialah bagi memperlihatkan kebesaran raja,amalan-amalan yang diamalkan,sikap rakyat terhadap sultan dan memperlihatkankepakaran dan kemahiran rakyat. Nilai budaya yang cuba digambarkan oleh pengarang pula dalam hikayat ini ialah adat perkahwinan raja, adat menyambut tetamu dan gajah sebagai binatang peliharaan.

Pandangan hidup yang cuba digambarkan oleh pengarang dalam hikayat ini ialah masyarakat yang mengagungkan dan mempercayai kebesaran Tuhan, sumber alam mempunyai kepentingan kepada manusia dan pemerintah mempunyai kuasa yang hebat.Nilai ilmu yang terdapat dalam Hikayat Aceh pula ialah ilmu peperangan, ilmu pertukangan dan ilmu firasat. Ilmu peperangan yang wujud pada zaman itu menunjukkan kewibawaan pemerintahan Sultan Iskandar Muda pada ketika itu.Ilmu pertukangan emas dan besi pula merujuk kepada ilmu yang dikuasai oleh masyarakat atau penduduk Aceh pada zaman itu.Kepakaran mereka membuat senjata dan alat-alat lain menggunakan emas dan besi tidak dapat disangkal lagi.Ilmu firasat pula turut diceritakan dalam hikayat ini.Jadi, pembaca dapat mengetahui bagaimana mimpi dikaitkan dengan peristiwa yang bakal berlaku.

Melalui teknik kepengarangan pula menggambarkan bahawa pengarang dapat dilihat sebagai seorang yang intelek kerana kebijaksanaannya menyampaikan cerita.Sebagai contoh, pengarang dapat mengulas salasilah keluarga diraja berdasarkan mitos asal usul raja-raja Aceh.Selain itu, pengarang juga dilihat sebagai seorang yang berupaya melukis sesebuah watak dengan hidup iaitu pengarang mahir dalam mengulas suasana berlangsungan pernikahan antara Sultan Mansur Syah dengan Puteri Raja Indera Bangsa. Pengarang telah berjaya mengambarkan dengan terperinci tentang cara pemakaian baginda berdua.Seterusnya, pengarang mengutarakan tentang kebesaraan Tuhan.Pengarang juga seorang yang kreatif dan berseni.Hal ini demikian kerana pengarang berupaya untuk menampilkan segala kisah atau gambaran sesuatu peristiwa dengan nyata dan jelas sehingga dapat memberikan gambaran suasana pada masa itu kepada masyarakat pada masa ini. Bukan itu sahaja, pengarang berupaya menggunakan teknik dialog dalam penceritaan dengan berkesan.

Seni bahasa yang digunakan oleh pengarang juga menunjukkan wujudnya kepelbagaian teknik dalam penceritaan serta kreatif dan indah.Hal ini demikian kerana pengarang menggunakan beberapa teknik pemerengganan. Selain itu, penggunaan retorik yang pelbagai dalam penceritaan dan adanya pelbagai unsur stilistik (Gaya Bahasa) dalam penulisan.

Berdasarkan semua ciri-ciri tersebutyang digambarkan melalui hikayat Aceh, maka tidak dapat disangkal lagi akan keunikannya sebagai salah satu karya agung Melayu.


5.0 Rujukan

Denys Lombard (1986). Kerajaan Aceh. Jakarta : Balai Pustaka


Fowzi Boman(2011). Kota Marudu. Blog dunia pendidikan(tugas rasmi guru sekolah rendah). Diperoleh daripada http://wwwcikgusktimbangbatu.blogspot.com/2011/01/kaedah-dan-teknik-pengajaran.html


Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah & Seri Lanang Jaya Rohani (2014). Karya Agung Melayu. Tanjung Malim : Emeritus Publications.


Mana Sikana (1996).Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Mohd Rashid Md Idris & Abu Hassan Abdul (2010). Falsafah Pendidikan Bahasa. Tanjong Malim : Emeritus Publications.


Nimoiz T.Y (2012). Bahasa Berseni dalam Karya Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Diperoleh pada Mac 22, 2015 daripada http://dwnbahasa.dbp.my/?p=543


No name. Pengarang dan kepengarangan Zaharah Nawawi. Diperoleh pada April 11,2015 daripada http://studentsrepo.um.edu.my/2256/6/BAB_3.pdf


Pisol Maidin (2003) .Tukang Timbal Membina Perahu: Tradisi dan Inovasi . Diperolehi pada April 13, 2015 daripada http://www.ukm.my/penerbit/sari21-04.pdf


Teuku Iskandar ; Hassan Ahmad(2001). Hikayat Aceh. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan

No comments:

Post a Comment